JANGAN LUPA RANCANG HARTA UNTUK MANFAAT DIRI SENDIRI DULU!
Bila sebut pasal perancangan harta banyak pihak hanya terfikir perancangan harta ini adalah untuk memberi harta kepada waris atau orang-orang tercinta. Semua orang terfikir bagaimana nak melindungi kebajikan waris-waris dan nak pastikan mereka mendapat harta kita seperti yang kita ingini. Inilah juga sales pitch yang kerap dibawa oleh semua pemain di dalam industri.
Yang selalu dihujahkan kalau tak buat perancangan harta, nanti waris bergaduh, waris teraniaya dan sebagainya. Kerana ini doktrin yang dibawa selalu, maka orang kita pun fikir perancangan harta itu ialah untuk manfaat waris. Kita jarang terfikir bahawa perancangan harta itu sebenarnya matlamat utama ialah selesaikan urusan diri kita sendiri dahulu sebelum urusan untuk waris.
Saya dah 23 tahun dalam industri ini. Saya rasa dalam keghairahan pemain industri ‘menjual’ dokumen perancangan, semua orang terlepas pandang bahawa perancangan harta itu sebenarnya mestilah bermula dengan kepentingan diri kita sendiri sebagai pemilik harta.
Kenapa? Kerana sebagai pemilik harta kitalah yang mesti mendapat manfaat maksimum dari harta itu. Selepas kepentingan kita dicapai, barulah kita melihat kepada bagaimana kita dapat melindungi kepentingan waris lain.
Kita sering terlupa bahawa dalam urusan harta pusaka, antara persediaan pertama yang perlu dipastikan ialah penyelesaian komitmen urusan jenazah dahulu seperti belanja urus jenazah dan pengkebumian. Kena ada tunai segera yang boleh diakses oleh waris supaya duit itu boleh digunakan untuk menyelesaikan komitmen ini.
Duit ini boleh diambil dari harta pusaka kita tetapi persoalannya ialah adakah waris tahu bagaimana nak akses duit ini? Anda sudah beritahu mereka di mana dan bagaimana duit ini boleh digunakan?
Bagaimana pula dengan belanja tahlil arwah? Adakah kos tahlil arwah ini boleh diambil dari harta pusaka simati? Jawapannya ialah “TIDAK”. Janganlah ada mana-mana waris memandai-mandai menggunakan duit pusaka peninggalan simati untuk berbelanja bagi tahlil arwah. Tahlil pula dibuat dengan grand mengalahkan garden wedding!
Ini kerana duit itu adalah hak waris-waris mengikut hukum faraid. Jika ingin digunakan, perlulah mendapat persetujuan dari semua waris-waris kerana itu adalah hak mereka. Jika waris bersetuju, bolehlah guna mengikut kadar yang dipersetujui. Jika waris tidak bersetuju, maka janganlah digunakan duit itu. Kalau ada waris yang sanggup sponsor , itu lain cerita.
Isu tahlil arwah ini memang banyak ulama berselisih pandangan dari segi hukum perlaksanaannya. Terserah kepada kita untuk menerima pandangan yang mana bersesuaian. Namun dari sudut isu perbelanjaan tahlil arwah, kedudukannya ialah jelas. Duit pusaka simati ‘TIDAK BOLEH’ digunakan untuk tahlil arwah kecuali jika waris bersetuju.
Seterusnya jangan lupa, wasi semasa kita masih hidup, perlu dilantik untuk mengkoordinasi proses harta pusaka. Di Wasiyyah Shoppe Berhad, wasi dilantik melalui Dokumen Pelantikan Wasi.
Jika seseorang itu harta pusakanya bernilai melebihi RM2 juta, kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959 menetapkan wasi memang perlu dilantik. Geran probet akan diberikan di atas nama wasi tersebut.
Dengan geran probet ini, wasi boleh menuntut harta alih si mati seperti akaun di bank, saham koperasi yang tidak berpenama, saham syarikat jika simati adalah pemegang saham, saham amanah yang tidak berpenama, akaun CDS di Bursa Malaysia, kereta dan lain-lain. Namun tuntutan ini tidaklah bermakna harta-harta itu milik wasi. Dia hanya mengumpulkan semua harta itu dan bertanggungjawab mengagihkan semula harta-harta itu kepada waris mengikut hukum faraid.
Namun sebelum agihan dibuat, wasi perlu memastikan segala hutang simati diselesaikan terlebih dahulu. Saya biasa jumpa kes simati meletakkan isteri sebagai penama KWSP. Bila berlaku kematian, memanglah isteri akan menerima wang tersebut. Bila sudah diterima, isteri itu terus mengagihkan wang itu kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid. Hutang simati tak dijelaskan pun dari duit itu! Kesian simati tergantung-gantung rohnya kerana hutang tak dijelaskan.
Ini satu perkara yang wasi selalu terlupa. Dia ingat kerjanya hanya mengumpul dan mengagihkan harta kepada waris-waris lain sahaja. Wasi selalu terlupa dia bertanggungjawab juga untuk menjelaskan hutang simati.
Jika wasi ini adalah individu dan simati adalah pelanggan Wasiyyah Shoppe Berhad, kami akan membimbing wasi melalui proses yang betul dan memastikan wasi faham dan berakauntabiliti melaksanakan tanggungjawab menjelaskan hutang simati.
Jika wasi ini adalah Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri ( Wasiyyah Shoppe Berhad boleh dilantik sebagai wasi mengikut Seksyen 8 Akta Pemegang Amanah 1949 Akta 100), memang kami akan menjelaskan hutang simati terlebih dahulu kerana ia tanggungjawab kami dari segi undang-undang.
Kesimpulannya para pembaca sekelian, sebelum kita sebagai pemilik harta memikirkan tentang bagaimana nak agih harta kepada waris atau sesiapa yang kita kehendaki, kita kena pastikan diri kita selamat terlebih dahulu. Pastikan hutang mesti diselesaikan terlebih dahulu.
Seterusnya dalam merancang harta kita juga boleh membuat wasiat 1/3 kepada bukan waris. Wasiat ini tujuannya ialah untuk memperuntukkan sebahagian dari harta pusaka kita kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. Contoh penerima wasiat ini ialah masjid, persatuan, pusat tahfiz termasuklah juga anak angkat, anak tiri dan pihak-pihak lain asalkan dia tidak menerima harta pusaka kita mengikut hukum faraid.
Wasiat 1/3 ini fungsi utamanya ialah bagi memenuhi hasrat kita untuk beramal kebajikan iaitu salah satu dari tiga perkara yang tidak putus dari anak adam walaupun selepas dia meninggal dunia. Jangan lupa untuk membuat wasiat ini untuk manfaat diri kita sendiri. Rugi kalau tak guna.
Confuse? Banyak sangat perkara nak dihadam? Jangan risau datang saja ke Wasiyyah Shoppe Berhad dengan melawat laman web kami wasiyyahshoppe.com.my untuk mendapat maklumat lanjut. Jom.
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe
KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA
BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?
Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah
Balu selalu tertindas bab pusaka?
APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?
"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"
RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN
APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?