KUALA LUMPUR 27 Jun - Proton menerusi cabang sukan dan rekreasi untuk kakitangannya, Kelab Proton menyumbang peralatan sukan dan wang tunai kepada dua buah sekolah di Proton City, Tanjung Malim, Perak untuk mempromosikan aktiviti sukan dalam kalangan pelajar.
Kedua-dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City dan Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City, masing-masing menerima sumbangan tersebut sempena dengan hari sukan tahunan yang berlangsung baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Tanjung Malim telah menjadi rumah kepada Proton sejak 2003, apabila memulakan operasi pembuatan di kilang serba baharu.
"Selama bertahun-tahun kehadiran kami telah berkembang dan hari ini, hampir 3,000 pekerja ditempatkan di sini dengan lebih ramai lagi akan datang.
"Pekerja-pekerja ini adalah sebahagian daripada komuniti tempatan dan lebih 1,000 orang anak-anak mereka adalah pelajar di sekolah-sekolah ini, jadi syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mendidik generasi warga Proton seterusnya dari bandar bersejarah ini," katanya.
Katanya, penajaan peralatan sukan kepada SMK Proton City merupakan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kelab Proton Tanjung Malim.
“Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Proton dipandu empat teras, iaitu Tempat Kerja, Alam Sekitar, Pasaran dan Pendidikan.
"Selain itu, sokongan untuk kanak-kanak adalah selaras dengan nilai korporat kami iaitu Teamwork, Achiever, Respect and Integrity (TARI), yang merupakan pendorong utama kami ingin bekerjasama dengan pihak sekolah untuk meningkatkan kualiti dan penglibatan pelajar melalui aktiviti sukan.
“Penglibatan Proton dalam masyarakat setempat juga telah membantu dalam pembangunan kawasan sekitar. Pembinaan jalan raya dan kemudahan serta kehadiran jenama antarabangsa untuk memenuhi keperluan Proton dan tenaga kerjanya telah memberikan rangsangan terhadap ekonomi, yang seterusnya membantu pertumbuhan dalam bidang seperti pembinaan rumah baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PIBG SMK Proton City, Ferdaus Mohni menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Proton kerana menjalankan program komuniti sebegini.
"Sekolah-sekolah di Proton City telah menyaksikan peningkatan dalam pendaftaran anak-anak kakitangan Proton. Kami berharap untuk membina hubungan yang lebih erat dengan jenama automotif nasional pada masa-masa akan datang," katanya. - DagangNews.com