JOHOR BAHRU 9 Mac - Kerajaan akan memastikan beberapa isu yang melanda kawasan Felda di Kota Tinggi dapat diselesaikan segera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, beberapa isu seperti air, perumahan generasi kedua Felda, masalah pencawang, infrastruktur dan isu gajah berkeliaran dihadapi kawasan tersebut.
"Sebelum saya datang ke Lok Heng, saya dimaklumkan tentang beberapa isu mengenai kawasan Felda di Lok Heng ini. Harga sawit tertinggi dalam sejarah negara kita. Saya ada 14 kawasan Felda di Bera.
"Tapi saya pasti ada beberapa isu seperti isu air, dan projek Loji Gemalai telah diluluskan dalam RMK-12 dan kini dalam proses setuju terima oleh kontraktor. Loji Rawatan Air Gembut yang akan terus disalurkan ke Loji Rawatan Air Lok Heng. Projek ini telah diumumkan oleh Setiausaha Kementerian supaya isu air di Kota Tinggi akan dapat diselesaikan.
"Kedua, isu perumahan generasi kedua Felda. Sewaktu RMK-12, saya mengumumkan bawasa isu perumahan rumah generasi kedua Felda dapat diselesaikan seperti pemberian lot-lot rumah untuk didirikan rumah." katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur supaya tiada lagi isu masalah infrastruktur.
"Ketiga, kita tidak melihat kepada keperluan rumah semata-mata. Ramai peneroka beralih ke arah keusahawan, pihak Felda setuju untuk beri RM10 juta untuk Tabung Usahawan Belia.
"Bagi mengikitraf peranan belia FELDA, pada mesyuarat agung tempoh hari, saya telah mengumumkan untuk melantik wakil belia dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda. Saya telah melantik Pengerusi Belia Felda untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA. Tahniah kepada belia," katanya.
Katanya, pihak kerajaan mempunyai keyakinan kepada belia untuk menyuarakan pandangan dan buah fikiran untuk memajukan Felda dan anak belia Felda.
Selain itu, beliau juga difahamkan rangkaian telefon teruk untuk perniagaan kerana masalah pencawang dan sehubungan itu pihak kerajaan ingin mengumumkan untuk membina pencawang telefon selular di kawasan Kota Tinggi.
"Satu lagi isu yang dimaklumkan adalah isu gajah. Saya dah dimaklumkan di bawah negeri Johor terdapat penubuhan santuari gajah dan telah diberi peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembinaan santuari gajah bagi fasa 2 dan dijangka siap pada 2025.
"Maka isu gajah-gajah yang berkeliaran akan dapat diselesaikan sepenuhnya. Saya amat memahami masalah Felda ini dan pastinya saya akan beri perhatian yang khusus kepada isu peneroka," katanya.
Perdana Menteri berkata, hari ini kita melihat kerajaan di peringkat persekutuan adalah kerajaan yang stabil selepas mendatangani perjanjian persefahaman (MoU).
"Perkara ini disebut selepas titah Yang Di-Pertuan Agong bahawa Baginda berpuas hati dengan kestabilan politik pada masa kini. Jika berlaku perubahan kerajaan, kita boleh lihat dalam negara kita, terdapat 3 Perdana Menteri dalam satu masa dan ini disebabkan oleh ketidakstabilan politik.
"Johor ini bertuah sebab dari segi pelaburan, negara yang paling hampir adalah Singapura. Sudah pasti Johor menjadi pusat pelaburan," katanya.
BACA JUGA: 3,200 lot tanah untuk generasi ke-2 Felda di Johor - PM
Katanya, kita memerlukan kerajaan Johor yang stabil dan yang boleh menstabilkan kerajaan Johor untuk memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor adalah berdasarkan kebijaksanaan warganya. - DagangNews.com