KUALA LUMPUR 2 Sept - Kerajaan dijangka mula membuat pembayaran bulanan berhubung RM5.8 bilion akaun belum terima Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) mulai bulan ini atau Oktober.
Bagaimanapun, AmInvestment Bank Research menyatakan jumlah bayaran bulanan itu tidak dinyatakan.
Penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, kerajaan juga akan membuat keputusan pada Disember ini berkaitan mekanisme bayaran bagi baki penghutang ICPT.
"Daripada RM19 bilion akaun belum terima setakat 30 Jun 2022, sebanyak RM12 bilion atau 63% adalah berkenaan pembayaran ICPT.
"Sementara itu, baki RM7 bilion terdiri terutamanya penghutang perdagangan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : TNB mungkin pertimbang buat pinjaman tambahan atasi baki penghutang yang tinggi akibat ICPT
Semalam, dalam kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan.
Beliau menyifatkan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pembayaran RM5.8 bilion dan jaminan RM6
bilion kemudahan pinjaman menterjemahkan usaha bersepadu kerajaan dan TNB dalam menangani keadaan harga bahan api yang tinggi.
Mengenai akaun belum terima yang besar disebabkan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada separuh pertama ini, kumpulan mengambil langkah proaktif untuk mengurus modal kerja.
Ini termasuk memenuhi kewajipan kami kepada pembekal dan vendor melalui pemantauan aliran tunai secara berterusan dan mendapatkan pinjaman tambahan apabila diperlukan.
TNB mencatatkan prestasi berdaya tahan pada separuh pertama 2022 disokong permintaan elektrik lebih tinggi sebanyak 5% tahun ke tahun sejajar pertumbuhan berterusan ekonomi pasca pandemik.
Hasil kumpulan tanpa bayaran balik ICPT bagi tempoh tersebut meningkat 4.4% kepada RM24.99 bilion daripada RM23.93 bilion.
Namun, kenaikan harga arang batu, ditambah pula dengan hasrat kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik untuk orang awam, telah memberi kesan kepada TNB untuk mendapatkan semula kos bahan api yang lebih tinggi melalui mekanisme ICPT.
Menurut Huey Ling, TNB akan mengekalkan pembayaran dividennya sebanyak 30% hingga 60% daripada keuntungan bersih normal.
"Kami menjangkakan dividen kasar sebanyak 38 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, mencerminkan hasil 4.3% dan bayaran sebanyak 50%," katanya.
Mengenai kadar cukai, katanya, ia dijangka menurun pada separuh kedua daripada 42% pada separuh pertama 2022.
Beliau berkata, TNB akan memerlukan lebih banyak perbelanjaan modal (capex) pada separuh kedua, yang akan menyaksikan elaun pelaburan semula yang lebih tinggi.
"Dalam hal ini, kami menjangkakan kadar cukai bagi FY22 sebanyak 30% berbanding 18% pada FY21," tambahnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dengan nilai wajar tidak berubah pada RM11.80 sesaham. -DagangNews.com