Kerajaan diminta pertimbangkan mengambil vaksin sebagai mandatori, kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kerajaan diminta pertimbangkan mengambil vaksin sebagai mandatori, kata Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN (empat dari kiri) di Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Pagoh hari ini. - Gambar Facebook Rasmi MY


 

PAGOH 22 Okt - Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan supaya menjadikan pengambilan vaksin sebagai mandatori, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Katanya, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap golongan enggan divaksin tanpa alasan kukuh supaya negara dapat mencapai liputan imunisasi menyeluruh dengan lebih pantas dan berkesan.

 

"Keengganan individu menerima vaksin begitu membimbangkan walaupun jumlah mereka hanya 10 peratus. Ini kerana mereka berisiko menjadi penyebar dan berpotensi merencatkan usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi.

 

"Sebab itu pandangan saya adalah kerajaan perlu pertimbangkan sama ada mahu jadikan ia sebagai mandatori.

 

"Apakah mereka ada halangan sama ada daripada segi perundangan atau perlembagaan, ataupun melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak berkenaan dapat diberikan nasihat untuk menerimanya," katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, disebabkan golongan antivaksin tidak menerima vaksinasi, mereka tidak boleh menggunakan kemudahan aplikasi MySejahtera.

 

"Jadi kalau mereka tiada sijil (vaksinasi), mereka secara semulajadi menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada nak masuk restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana itu dah jadi satu amalan biasa di Malaysia," katanya.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, sebelum ini kerajaan tidak menguatkuasakan perkara berkenaan berikutan tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.

 

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk perkara itu diperhalusi ekoran golongan yang masih tidak menerima vaksin ketika ini kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih. - DagangNews.com