Kerugian MAHB menurun kepada RM58.15 juta berbanding RM226.09 juta tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Kerugian MAHB menurun kepada RM58.15 juta berbanding RM226.09 juta tahun lalu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatat penurunan dari segi kerugian bersih suku kedua kepada RM58.15 juta berbanding kerugian bersih RM226.09 juta setahun sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata pendapatan meningkat kepada RM689.76 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) daripada RM323.42 juta setahun sebelumnya.

 

Daripada segi prestasi separuh tahun, kerugian bersih Kumpulan pada 1H22 mengecil sebanyak 63.6% kepada RM162.9 juta daripada RM447.4 juta pada 1H21, hasil daripada pergerakan penumpang yang lebih tinggi, ditambah dengan inisiatif kecekapan kos yang berterusan. 

 

"Secara keseluruhan, Kumpulan mencatatkan 34.1 juta pergerakan penumpang pada 1H22, peningkatan tiga kali ganda berbanding 1H21, yang juga merupakan pemulihan 50.0% volum penumpang sebelum COVID," kata MAHB.

 

Kumpulan Malaysia Airports menyaksikan peningkatan ketara dalam Pendapatan Sebelum Cukai Faedah, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dan hasil bagi separuh tahun berakhir 30 Jun 2022 (1H22) sejajar dengan peningkatan ketara dalam pergerakan penumpang di kedua-dua operasinya di Malaysia dan Turki.

 

EBITDA Kumpulan untuk 1H22 ialah RM471.7 juta dengan hasil 90.9% lebih tinggi sebanyak RM1.26 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas (1H21).

 

EBITDA untuk operasi Kumpulan di Malaysia berjumlah RM26.1 juta manakala EBITDA untuk operasi Qatarnya berjumlah RM5.7 juta.

 

EBITDA untuk operasi Turki Kumpulan, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), berjumlah RM439.9 juta, atau 97.6% lebih tinggi berbanding 1H21.


 

mahb

 


Pembukaan semula sempadan Malaysia menyaksikan pergerakan trafik penumpang negara melonjak kepada 20.3 juta untuk 1H22, meningkat 6.8 kali ganda berbanding 1H21.

 

Pada bulan Jun 2022, bilangan penumpang antarabangsa telah kembali kepada 29.6% daripada paras Jun 2019, manakala faktor muatan antarabangsa pada Jun 2022 berjumlah 72.9%.

 

Trend yang menggalakkan ini datang selepas hanya 3 bulan kelonggaran dalam sekatan perjalanan untuk Malaysia. Ia memberikan keyakinan bahawa trafik antarabangsa mendapat momentum, dengan itu, menandakan titik perubahan untuk pemulihan pendapatan.

 

Operasi Turki Kumpulan di ISG mencatatkan 13.8 juta jumlah pergerakan penumpang pada 1H22, bersamaan dengan 81.6% pergerakan penumpang semasa tempoh pra-pandemiK yang sama pada 2019.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa ISG adalah 5.1% lebih tinggi daripada tahap pra-pandemik, dengan hasil aeronautik yang lebih tinggi mempercepatkan keuntungan. ISG juga disenaraikan sebagai lapangan terbang ke-8 paling sibuk di Eropah pada 1H22.


 

Dato' Iskandar Mizal Mahmood
                                  Dato' Iskandar Mizal Mahmood

 


Pada masa yang sama, Moody's Investors Service (Moody's) telah mengumumkan perubahan dalam tinjauan ke atas Malaysia Airports Holdings Berhad daripada negatif kepada stabil dan pada masa yang sama mengesahkan penarafan A3.

 

Menurut Moody's, "Perubahan prospek dan pengesahan penarafan mencerminkan jangkaan kami bahawa dana lapangan terbang daripada operasi (FFO) kepada hutang akan mengukuh sehingga melebihi paras toleransi penarafan A3 iaitu 7%-8% dalam tempoh 12-18 bulan akan datang, di balik unjuran pemulihan dalam trafik penumpang di bawah senario kes asas kami."

 

Mengulas mengenai perkara itu, Dato' Iskandar Mizal Mahmood berkata, "Ini merupakan perkembangan positif bagi Kumpulan.

 

"Usaha yang diambil untuk memperjuangkan kecemerlangan dan kecekapan operasi ditambah dengan pengurusan kewangan yang berhemat mula membuahkan hasil selepas dua tahun yang sangat mencabar," ujar beliau. - DagangNews.com