KUALA LUMPUR 12 Sept - Sektor pembinaan berdepan pelbagai cabaran besar terutamanya ketidaktentuan situasi politik menjelang pilihan raya membuatkan kerajaan lebih berhati-hati dalam melancarkan projek mega baharu.
CGS-CIMB Research berkata, selain situasi berkenaan, sektor itu juga berhadapan cabaran lain seperti kenaikan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga pekerja.
Menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini, firma itu menjangkakan perbelanjaan pembangunan akan lebih tertumpu bagi membantu mempercepatkan pembangunan infrastruktur yang sedang dibangunkan.
"Walaupun sekatan pergerakan sudah ditarik balik dan ekonomi sudah kembali dibukan sejak 4QCY21 namun sektor itu masih terjejas kesan daripada kenaikan harga bahan binaan dan kos tenaga kerja yang lebih tinggi.
"Oleh itu kami tidak menolak langkah pemberian bantuan rangsangan terpilih bagi membantu kontraktor yang lebih kecil.
"Bagi kontraktor yang lebih besar, kami percaya cadangan kontrak mega baharu yang telah diluluskan dalam tempoh enam hingga 12 bulan lepas akan membantu mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Selepas mengambil kira situasi semasa menjelang Bajet 2023 dan Pilihanraya Umum ke-15, firma itu memilih kontraktor yang melakukan pelupusan aset melalui penjualan lebuh raya selain kedudukan kunci kira-kira yang kukuh selain perkembangan tempahan projek pada masa akan datang.
Pada masa sama, firma itu juga memilih kontraktor yang terlibat dengan pakej kerja awam MRT3 peringkat 1 selain tempahan projek di luar negara.
"Bagi syarikat big-cap kami memilih Gamuda dan IJM Corporation manakala syarikat small-cap, HSS Engineers menjadi pilihan," katanya.
Firma itu mengekal saranan 'neutral' bagi sektor pembinaan. - DagangNews.com