Skip to main content

Kewangan digital tingkatkan akses kewangan bagi semua segmen pengguna?

Rantau ini mempunyai infrastruktur yang masih belum membangun secara keseluruhan.
oleh Dr. Norliza Che Yahya

KEWANGAN digital ialah istilah yang diguna pakai bagi mengiktiraf penggunaan teknologi di dalam perkhidmatan perbankan dan kewangan.

 

Ia termasuk pada produk, aplikasi, proses dan model perniagaan kewangan yang telah berubah dari kaedah tradisional ke digital.

 

Kepesatan ekonomi digital di Asia Tenggara membawa peluang serta pertumbuhan pesat bagi menyokong usaha rantau ini mempertingkatkan rangkuman kewangan atau ‘financial inclusion’ menerusi kewangan digital.

 

Walaupun rangkuman kewangan menjadi salah satu asas pembangunan kewangan digital,  peluang menggunakan perkhidmatan kewangan yang didigitalkan masih belum mampu diakses secara sama rata oleh semua masyarakat disebabkan oleh jurang digital besar yang wujud di rantau ini.

 

Isu ini memerlukan penyelesaian strategik bersama semua negara untuk memastikan rangkuman kewangan terhadap perkhidmatan kewangan digital ini benar-benar inklusif.

 

Di samping itu, Asia Tenggara berhadapan beberapa cabaran unik lain di dalam usahanya mempertingkatkan penggunaan kewangan digital.

 

Sebagai contoh, rantau ini mempunyai infrastruktur yang masih belum membangun secara keseluruhan.

 

Pada masa yang sama, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi rantau ini masih secara tradisinya beroperasi di luar talian. Ini membuatkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital adalah rendah bagi sektor ini.

 

Sementara itu, seperti yang dinyatakan di Forum Ekonomi Dunia 2022, sebanyak 70% penduduk di rantau in masih belum mempunyai akaun bank atau hanya mempunyai satu akaun bank, dengan akses terhad atau tiada akses pada perkhidmatan pinjaman kredit atau perkhidmatan kewangan lain untuk mereka melabur dan menyimpan untuk masa depan.

 

Secara jelas, faktor-faktor ini menghalang keupayaan rantau ini mencapai potensi rangkuman kewangan yang inklusif.

 

parafrasa

 

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan dapat dilihat di mana penggunaan teknologi adalah semakin meningkat di kalangan penduduk.

 

Ini adalah hasil dari pelbagai inisiatif bersepadu di peringkat negara individu dalam memperkasa kewangan digital.

 

Di dalam konteks Malaysia, pada 26 September 2018, kolaborasi strategik tiga hala di antara Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF), Bank Negara Malaysia (BNM), dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberikan satu petunjuk penting bagi menyokong kelestarian pendigitalan perkhidmatan kewangan negara ini dengan pelancaran Hab Inovasi Kewangan Digital.

 

Pelancaran Hab Inovasi Kewangan Digital Malaysia ini dilihat mampu untuk terus menyokong rangkuman kewangan bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Malaysia.

 

Hab Inovasi Kewangan Digital ini membolehkan penyedia perkhidmatan kewangan, termasuk institusi kewangan dan syarikat permulaan fintech untuk menggabungkan teknologi di dalam produk dan perkhidmatan yang boleh diakses dan mampu dimiliki oleh semua segmen masyarakat.

 

Hab ini juga mampu menyumbang ke arah pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara yang mampan.

 

Sehingga kini, Malaysia dilihat terus gah memacu pelbagai inisiatif dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan digital dan rangkuman kewangan.

 

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk inisiatif pembiayaan digital, program pemecut fintech dan pemberian lesen perbankan digital malaysia oleh BNM.

 

parafrasa

 

Inisiatif Pembiayaan Digital

Pada Disember 2021, Inisiatif Pembiayaan Digital telah dilancarkan sebagai projek perintis oleh SME Corp. Malaysia bertujuan menyediakan akses pantas pada pembiayaan bagi PKS melalui platform digital untuk menangani cabaran yang dihadapi PKS semasa fasa pandemik COVID-19.

 

Melalui inisiatif ini, SME Corp. Malaysia bekerjasama dengan microLEAP untuk:

  • menyediakan pembiayaan jangka pendek yang inovatif dan pantas untuk PKS melalui platform digital;
  • memudahkan proses dokumentasi pemohon; dan
  • menyediakan produk patuh syariah dengan akses 24/7 bagi permohonan pembiayaan dalam talian

 

Program Pemecut Fintech

Pada 18 Februari 2022, Payments Network Malaysia Sdn Bhd ('PayNet') iaitu rangkaian pembayaran utama Malaysia dan infrastruktur pusat untuk pasaran kewangan telah melancarkan "Program Pemecut ePayment FinTech" selama tiga bulan yang bertujuan menyokong dan memajukan keupayaan FinTech berpotensi tinggi bagi mempertingkatkan lagi penggunaan ePayments di Malaysia.

 

Selaras dengan misi PayNet untuk menjadi pemboleh dipercayai ekosistem kewangan inklusif dan kolaboratif, program ini memberi tumpuan kepada idea dan penyelesaian bagi mana-mana tiga segmen perkhidmatan kewangan berikut; penggunaan ePayments, penambahbaikan pada produk sedia ada dan pengenalan penyelesaian perniagaan baharu.

 

Lesen Perbankan Digital Malaysia

Pada 29 April 2022, BNM memberikan 5 lesen bank digital yang dilihat dapat membantu segmen pasaran seperti B40, mikro-PKS dan PKS. Bank digital ini berperanan menjadikan perbankan lebih mudah dan pantas.

 

Sebagai contoh, individu boleh menyediakan akaun hanya dalam beberapa minit melalui telefon. Bank digital juga membenarkan pendigitalan semua aktiviti dan perkhidmatan perbankan tradisional yang dahulunya tersedia kepada pelanggan hanya di cawangan bank secara fizikal.

 

Di peringkat makro, kewangan digital membantu meningkatkan rangkuman kewangan di Malaysia, dengan pengguna dilihat dapat mengakses perkhidmatan kewangan dengan lebih mudah.

 

parafrasa

 

Walaubagaimanapun, perkhidmatan kewangan digital di Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam jangka masa panjang.

 

Ini termasuk perkhidmatan kepada pengguna berpendapatan rendah dan perusahaan mikro dan kecil yang tidak mempunyai cagaran atau aliran tunai mencukupi bagi melayakkan mereka mendapat pinjaman.

 

Bank digital haruslah juga menyasarkan perkhidmatan mereka pada bidang yang mempunyai intensif modal rendah seperti pembayaran dan kiriman wang, pengedaran pelaburan pihak ketiga, produk insurans dan pembiayaan rantaian bekalan untuk pedagang e-dagang.

 

Ini bagi memastikan kewangan digital dapat diakses oleh semua segmen pengguna dan mencapai matlamat rangkuman kewangan secara keseluruhan. – DagangNews.com

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan  Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam