Skip to main content

Mahkamah Tinggi lantik Interim Liquidator ke atas Serba Dinamik dan saman Pernas yang memeranjatkan!

Ibu pejabat Serba Dinamik di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

MINGGU lepas pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melantik Interim Liquidator (IL) untuk mengawal Serba Dinamik Holdings Bhd dan tiga anak syarikatnya selepas syarikat minyak dan gas yang bermasalah itu melanggar Perintah Persetujuan yang memerlukannya mula membayar balik sindiket pinjaman terhutang kepada enam bank.

 

Liquidator dalam terjemahan mudah Bahasa Malaysia ialah pembubar, penyelesai. Pemahaman pantas ialah entiti yang dilantik mengikut undang-undang untuk lelong aset yang duitnya diguna untuk bayar balik hutang.

 

IL akan mempunyai kuasa untuk mengawal hal ehwal syarikat sehingga pelantikan penuh penyelesai untuk memulakan proses penggulungan. Perbicaraan petisyen penggulungan terhadap Serba Dinamik dijadualkan pada 10 Januari 2023, dengan keputusan mungkin dicapai pada hari yang sama.

 

Dalam keputusannya pada 23 Ogos tersebut, Hakim bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Nadzarin Wok Nordin berkata kepentingan utama dalam prosiding penggulungan adalah kepentingan pemiutang.

 

Hakim Nadzarin tidak mendapati sebarang pertikaian dalam Perintah Persetujuan yang dibuat oleh pihak-pihak pada 8 Jun, yang "menyatakan dengan jelas" bahawa sekiranya berlaku keingkaran, Serba Dinamik dan syarikat berkaitannya "tidak boleh membantah atau menentang pelantikan IL".

 

Nadzarin Wok Nordin
       Hakim Nadzarin Wok Nordin

 

"Ia juga tidak dipertikaikan bahawa skim pengaturan telah memperuntukkan tranche pertama pembayaran dibuat pada atau sebelum 12 Ogos 2022, dan bahawa terma skim itu adalah antara syarat, dan skim itu kini telah dilanggar. oleh kegagalan membuat pembayaran sebelum tarikh yang disebutkan di atas," kata Nadzarin.

 

"Adalah keputusan saya bahawa pihak-pihak terikat dengan syarat-syarat dalam Perintah Persetujuan dan Perintah Persetujuan mesti dikuatkuasakan," tambahnya.

 

Enam bank ini — pempetisyen yang telah meminta pelantikan IL — ialah Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd. 

 

Semasa prosiding maya pada hari Selasa, Nadzarin berkata keputusannya juga mengambil kira "semua keadaan sekeliling dan sejarah syarikat Serba Dinamik yang agak rumit".

 

"Hutang yang sangat besar yang ditanggung oleh syarikat Serba Dinamik iaitu pemegang sukuk antarabangsa kira-kira AS$500 juta (RM2.24 bilion), walaupun mereka (pemegang sukuk) tidak menyokong permohonan IL, mereka tidak membantah," katanya.

 

“Saya juga telah mengambil kira bahawa (jumlah terhutang kepada) pemberi pinjaman bersindiket kira-kira RM1.7 bilion, pemberi pinjaman dua hala kira-kira RM68 juta dan Hong Leong Islamic Bhd berhutang RM240 juta.

 

"IL adalah pegawai mahkamah dan tertakluk kepada kawalan mahkamah. Mana-mana pihak yang berkepentingan boleh memohon kepada mahkamah sekiranya situasi konflik timbul," tambahnya.

 

Serba Dinamik dan tiga anak syarikatnya — Serba Dinamik International Ltd, Serba Dinamik Group Bhd dan Serba Dinamik Sdn Bhd.

 

Serba Dinamik

 

Isu nasional

Pelantikan IL tersebut adalah yang terbaharu dalam rentetan kejadian buruk yang menimpa Serba Dinamik sejak isu berkaitan laporan audit tercetus pada Jun 2021.

 

Pada 13 April 2022, Serba Dinamik, dan empat eksekutif tertingginya dikompaun RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

 

Salah seorang eksekutif telah dikenakan kompaun tambahan RM1 juta kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat Serba Dinamik Serba Dinamik Sdn Bhd.

 

Denda telah diselesaikan sepenuhnya pada 9 Mei lalu dan mereka kemudiannya dibebaskan daripada pertuduhan.

 

Walaupun krisis Serba Dinamik ini tidak sampai mendorong sesiapa berdiri di atas pentas untuk berdebat, namun ia menjadi perhatian umum sehingga dipersoal di Parlimen, terutamanya berkaitan hukuman yang dilihat sebagai `ringan’.

 

Peguam Negara Idrus Harun juga terpaksa menjelaskan bahawa beliau memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Serba Dinamik dan eksekutifnya kerana hanya bukti mengikut keadaan yang ada dan bagi mengelak perbicaraan yang panjang.

 

Idrus Harun
 Peguam Negara, Idrus Harun

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, kompaun RM16 juta yang dikenakan ke atas Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dan eksekutif tertingginya adalah hukuman yang memadai.

 

Wan Junaidi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (Pakatan Harapan-Sibu) yang bertanya mengenai pembebasan Serba Dinamik dan empat eksekutif tertingginya daripada pertuduhan mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

"Keputusan tersebut sebenarnya telah membolehkan tindakan punitif terhadap SDHB dan empat orang eksekutif tercapai dengan serta merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama.

 

"Keputusan tersebut adalah satu keputusan yang sesuai dan wajar berdasarkan hal keadaan kes tersebut," katanya dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ling bertarikh 2 Ogos 2022.

 

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
 Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Wan Junaidi berkata denda RM16 juta itu adalah jumlah maksimum kompaun yang boleh dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Justeru, kompaun itu tidak boleh dianggap sebagai hukuman ringan, katanya.

 

Timbul pula kes saman Pernas

Meneliti kes saman Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) terhadap pengarah urusan Serba Dinamik Holdings Bhd Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah dan dua bekas eksekutif kanannya, ia memberi gambaran ketika zaman kemegahan  syarikat perkhidmatan minyak dan gas – ia mampu menawarkan dan menarik pelbagai bentuk pelaburan sampingan.

 

Pernas adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Inc. dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais Malaysia, menuntut pulangan RM46.49 juta berhubung pelaburan saham yang merudum pada Mei 2022.

 

Pernas

 

Dua lagi defendan yang dinamakan dalam tuntutan mahkamah ialah Rosland Othman dan Rosli Hamat. Rosland sebelum ini adalah naib presiden kanan (projek khas) di bawah Serba Dinamik Group Bhd (SDGB), manakala Rosli ialah Naib Presiden kanan (pelaburan) Serba Dinamik International Ltd (SDIL). Kedua-dua SDGB dan SDIL adalah anak syarikat Serba Dinamik.

 

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan, Pernas berkata ia memeterai perjanjian pelaburan dan perjanjian opsyen jual dengan Rosland dan Rosli pada 24 Jan 2018, di mana Pernas bersetuju untuk membeli 13.5 juta saham Serba Dinamik. Harga belian tidak dinyatakan.

 

Di bawah perjanjian itu, pihak-pihak bersetuju bahawa sekiranya saham Serba Dinamik jatuh di bawah RM3 sesaham, Rosland dan Rosli akan membayar Pernas perbezaan antara RM3 dan harga saham sebenar ia jatuh, dalam tempoh tujuh hari selepas notis daripada Pernas.

 

Pernas juga menandatangani perjanjian opsyen jual dengan kedua-dua mereka, yang memberi Pernas hak untuk menjual saham yang dibelinya kepada kedua-dua mereka pada harga opsyen yang dipersetujui yang akan mengambil kira kos pelaburan Pernas, pada kadar faedah 12% setahun.

 

Menurut Pernas, Rosland dan Rosli kemudian menandatangani perjanjian opsyen tambahan pada 27 Jun 2019, yang menetapkan bahawa jika kedua-duanya gagal membeli saham Serba Dinamik milik Pernas sekiranya Pernas melaksanakan opsyen jualnya, maka Abdul Karim akan dikehendaki melengkapkan pemerolehan itu.

 

Pernas berkata Abdul Karim bersedia untuk menyerap kerugian yang mungkin dialami oleh Pernas sekiranya harga saham Serba Dinamik jatuh di bawah RM3.

 

Notis pertama

Pada 31 Mei 2021, harga saham Serba Dinamik menjunam kepada RM1.43 seunit di tengah-tengah berita bahawa juruauditnya telah melabel isu tertentu dengan akaunnya, yang menyebabkan Pernas mengeluarkan notis kepada Rosland dan Rosli pada 9 Jun 2021, memohon bayaran sebanyak RM17.61 juta.

 

Apabila kedua-duanya meminta Pernas dilanjutkan selama enam bulan untuk menunaikan bayaran, Pernas bersetuju untuk melanjutkan hanya sehingga 31 Julai 2021 dan memaklumkan kedua-dua mereka perlu membayar RM21.52 juta kerana harga saham Serba Dinamik semakin menurun.

 

Tetapi 31 Julai 2021 datang dan pergi, dan kedua-duanya masih tidak dapat memenuhi pembayaran. Sebaliknya, mereka berulang kali meminta lanjutan masa untuk memenuhi kewajipan kontrak mereka.

 

Serba Dinamik

 

Akhirnya, Pernas bersetuju untuk membenarkan mereka membayar sebelum 29 Oktober 2021, dengan jumlah terhutang disemak semula kepada RM22.06 juta kerana harga saham Serba Dinamik semakin jatuh. Jumlah ini sekali lagi disemak kepada RM23.47 juta berikutan penggantungan saham Serba Dinamik Bursa Malaysia pada 22 Okt 2021, apabila saham itu kali terakhir didagangkan pada 35 sen sesaham.

 

Menjelang 17 Mac tahun ini, berikutan kegagalan kedua-dua mereka untuk membayar, Pernas melaksanakan opsyen jualnya untuk menjual saham Serba Dinamiknya kepada kedua-duanya pada RM46.44 juta. Tetapi baik Rosland mahupun Rosli tidak dapat memenuhi perjanjian itu.

 

Ini menyebabkan Pernas mengeluarkan notis kepada Abdul Karim untuk membeli saham itu, tetapi Abdul Karim juga gagal memenuhi jaminan itu.

 

Serba Dinamik

 

Oleh itu, Pernas memulakan tuntutan mahkamah, memohon sama ada pembayaran RM23.47 juta daripada kedua-dua mereka, dan/atau pembayaran RM46.44 juta untuk saham opsyen jual daripada ketiga-tiga mereka.

 

Pada 22 Jun 2022, Abdul Karim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pernas sambil menafikan pengetahuan tentang urusan Rosland dan Rosli dengan Pernas dan perjanjian opsyen tambahan yang Pernas dakwa kononnya telah dimeterai bersamanya.

 

Apa akan jadi kepada Serba Dinamik?

Pelantikan Liquidator seperti dinyatakan, bermaksud Serba Dinamik perlu melupuskan aset untuk mengumpul dana bagi menjelaskan balik apa sahaja yang dihutang atau dituntut. 

 

Apa berlaku selepas itu, tidak sesuai untuk dijadikan spekulasi.

 

Ketika entiti besar seperti KWSP sudah lama meninggalkan Serba Dinamik, Kerajaan negeri Sarawak masih kekal sebagai pemegang saham di dalam syarikat. Ini memberi isyarat bantuan oksigen yang masih berguna untuk kesinambungan hayat syarikat.

 

Serba Dinamik
Taman D-Virtual bernilai RM13 juta, taman tema maya pertama di Sarawak dibina oleh Serba Dinamik di Kota Samarahan.

 

Tiada sebarang maklumat dikeluarkan oleh kerajaan negeri Sarawak setakat ini, walaupun telah didesak oleh ahli parlimen pembangkang untuk mendedahkan kerugian yang dialaminya akibat pegangannya dalam Serba Dinamik.

 

Mungkin masa akan menentukannya dan agar Serba Dinamik boleh pulih serta bangkit semula daripada kejadian buruk ini. – DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Jump Around - House of Pain berulang-ulang kali.