Skip to main content

Malaysia lokasi ideal pengembangan pelaburan asing - MIDA

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Rangkaian bekalan tempatan yang kukuh dan boleh dipercayai menjadikan Malaysia sebagai lokasi ideal untuk syarikat asing mengembangkan dan menempatkan semula pelaburan mereka.

Walaupun Malaysia tidak ketinggalan menerima cabaran besar akibat penularan COVID-19, namun pandemik itu mendorong syarikat-syarikat untuk mengkaji dan menyusun semula rangkaian bekalan mereka untuk tidak bergantung kepada satu negara sahaja. 

Lebih menarik, Malaysia mempunyai kelebihan untuk mempermudahkan peralihan firma global untuk menubuhkan syarikat mereka di negara ini, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Di samping mengikuti pendekatan ekosistem untuk menarik pelaburan ke dalam negara, MIDA mengutamakan pengembangan rangkaian nilai di sektor-sektor yang disasarkan.

 

Abdul Majid Ahmad Khan
Abdul Majid Ahmad Khan

 

“Ini juga bagi menawarkan prospek pertumbuhan jangka masa panjang dan berterusan untuk pelabur terus kekal dan berkembang di Malaysia,” kata Pengerusi MIDA, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan menurut laporan Bernama. 

Tambah Abdul Majid, Malaysia turut mengukuhkan kedudukan sebagai hab rangkaian bekalan global di Asia. 

Sehubungan itu, MIDA akan terus menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi ke dalam sektor pengilangan terutamanya di subsektor pemangkin iaitu kimia, elektrikal dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan serta aeroangkasa dan peranti perubatan.

Bagi sektor perkhidmatan pula, MIDA menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang-bidang logistik, e-perdagangan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui. 

“Trend baharu yang menarik dalam ekonomi kontak rendah (low-touch) juga telah dikenal pasti seperti pelancongan digital, fintech, kilang pintar, pusat percubaan klinikal untuk negara-negara membangun dan pembelajaran dalam talian global,” katanya. - DagangNews.com