Malaysia rangkul Perak kejohanan sukan kuda lasak dunia di Belanda | DagangNews Skip to main content

Malaysia rangkul Perak kejohanan sukan kuda lasak dunia di Belanda

PASUKAN Malaysia menerima pingat Perak di kejohanan World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 (WECHY21) di Ermelo, Belanda pada 10 September 2021. - Gambar UPM

 

 

ERMELO, (Belanda) 11 Sept – Malaysia berjaya merangkul tempat kedua pada kejohanan World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 (WECHY21) di Ermelo, Belanda, mengatasi lebih daripada 100 pelumba dari seluruh dunia.

 

Tempat pertama dimenangi oleh Perancis, manakala Belgium di tempat ketiga. Kejohanan berlangsung dari 6 hingga 11 September.

 

Malaysia diwakili Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari, 21 tahun; Muhammad Yusuf Luqman Zakaria, 19; Nur Qasrina Amani Zakaria, 20; An-Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar, 20; dan Anfal Insyirah Abu Talib, 15.

 

Mereka menamatkan perlumbaan sejauh 120km itu dan melengkapkan pertandingan selama enam jam setengah hingga tujuh jam, kira-kira 1 jam 15 minit di belakang Perancis.

 

Ini adalah penyertaan kelima Malaysia dalam pertemuan bawah dua tahun sejak 2013. Pencapaian terbaik sebelum ini adalah tempat keempat pada edisi Tarbes 2013 dan kelima di Pisa 2019.

 

Ketua pasukan, Muhammad Yusuf pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Benua Equestrian Stables, Pusat Ekuin Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, sebelum berlepas ke kejohanan itu berkata, beliau yakin dan positif bahawa pasukan mampu meraih podium kerana mereka berada dalam keadaan terbaik.

 

Jalur Gemilang itu diserahkan Pengarah, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM, Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin pada 5 September lalu sebelum pasukan berangkat ke Belanda.

 

 

UPM
Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di UPM oleh Prof. Madya Dr. Siti Zaharah, Pengarah, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM pada 5 September lalu.

 

 

Muhammad Yusuf, membuat penampilan kedua dalam pertandingan itu bersama Faris Haikal.

 

“Saya dan Faris sekali lagi bertanding bersama, kami telah belajar daripada pengalaman dalam pertandingan lalu. Kerja berpasukan dan mempercayai rakan sepasukan adalah kunci bagi mencapai kejayaan.”

 

"Pada perlumbaan 2019, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kuda saya, dan Faris dapat menunjukkan kepada saya bahawa kuda saya tidak mempunyai ladam. Kami membetulkan masalah ini dan dapat menyelesaikannya di tempat kelima.

 

"Kali ini kami juga akan melihat untuk bermula dari posisi yang lebih baik. Pada perlumbaan 2019, kami mula dari pertengahan paket daripada lebih 100 pelumba. Saya percaya kami dapat menyingkatkan lebih banyak masa jika kami pecut lebih jauh kali ini,” katanya.

 

 

UPM
Para atlet membuat pecutan terakhir di garisan penamat.

 

 

Kesemua atlet itu menjalani latihan intensif sejak 2019, dan terpaksa berdepan cabaran dalam latihan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 2020 ekoran pandemik COVID-19.

 

Latihan intensif dijalankan di bawah penyeliaan Benua Equestrian Stable (BEST) yang merupakan rakan industri UPM sejak 2017. Persatuan Berkuda Malaysia (EAM) juga telah meramalkan atlet kuda negara ini akan berada di kedudukan tiga teratas dalam acara berpasukan berdasarkan prestasi pencapaian mereka yang lalu.

 

Melihat kepada potensi Malaysia yang mampu menjuarai sukan lasak kuda yang berprestij di peringkat dunia, UPM juga sangat komited dalam menyediakan perkhidmatan stable lengkap dengan ruang berkuda di lapangan. Orang awam dialu-alukan untuk mencuba sukan kuda ini di UPM dengan yuran perkhidmatan yang amat berpatutan. - DagangNews.com