Maybank luluskan lebih 99% permohonan bantuan bayaran balik | DagangNews Skip to main content

Maybank luluskan lebih 99% permohonan bantuan bayaran balik


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Lebih daripada 99% permohonan bantuan pembayaran balik yang diproses oleh Maybank setakat 15 Oktober 2020 telah diluluskan.

Ini merangkumi permohonan oleh dua kategori pelanggan iaitu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan sokongan kewangan tambahan setelah berakhirnya tempoh moratorium pinjaman enam bulan pada 30 September 2020.

Daripada permohonan yang diluluskan itu, sekitar 38% telah diberikan lanjutan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Komuniti Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, bank itu telah memproses kira-kira 81,000 permohonan daripada dua kategori pelanggan berkenaan.

 

Datuk John
John Chong

 

"Kami masih dalam usaha memproses permohonan tambahan memandangkan ada yang memohon pada saat-saat akhir selepas 1 Oktober.

"Maybank sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggan kami dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi kami untuk membincangkan pakej pembayaran yang sesuai dengan keperluan kewangan mereka sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakej bantuan pembayaran balik itu merangkumi penangguhan beberapa bulan pembayaran pinjaman atau pembiayaan bagi mereka yang baru-baru ini menganggur akibat wabak COVID-19, serta pengurangan pembayaran pinjaman atau pembiayaan bagi mereka yang pendapatannya telah dikurangkan.

Tambah Chong, lebih daripada 85% pelanggan runcit Maybank terus membayar pinjaman atau pembiayaan seperti biasa sejak 1 Oktober 2020.

Selain daripada bantuan pembayaran balik, Maybank terus menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pelbagai segmen pelanggan, termasuk PKS dan PKS mikro untuk meneruskan serta meluaskan perniagaan mereka.

“Kami mempunyai pelbagai pilihan pembiayaan, yang paling mudah ialah Pembiayaan Digital PKS yang baru sahaja dilancarkan – kemudahan pembiayaan digital dengan kelulusan secepat 10 minit yang menawarkan pengalaman digital menyeluruh, dengan pemprosesan menyeluruh terus (STP), dari permohonan ke kelulusan dan pengeluaran," jelasnya.

Dengan kemudahan ini, PKS boleh memohon pembiayaan dalam talian melalui Maybank2U atau Maybank2U Biz 24 jam sehari, tanpa perlu mengunjungi cawangan Maybank.

Dalam pada itu, susulan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri-negeri tertentu, Maybank mengalakkan pelanggan yang ingin memohon bantuan pembayaran balik untuk melakukannya melalui saluran berikut:

  • Memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu dan pelanggan Perniagaan Sewa Beli)
  • Memohon melalui e-mel ke weassist@maybank.com (untuk pelanggan individu) atau SMErelief@maybank.com (untuk pelanggan PKS), dengan memberikan nama, nombor telefon, jenis pinjaman (seperti Gadai Janji, Sewa Beli, Pembiayaan Pinjaman Berjangka); Nombor kenderaan (untuk Sewa Beli), Status Pekerjaan, dan Sebab permohonan, atau
     
  • Hubungi mana-mana cawangan Maybank, Pusat PKS atau Pusat Kewangan Auto (mana yang berkaitan) di seluruh negara.

Namun, mereka yang perlu mengunjungi cawangan Maybank untuk tujuan tertentu kini mempunyai kemudahan tambahan menggunakan sistem pengurusan temu janji dalam talian Maybank EzyQ yang baru dilancarkan untuk penjadualan temu janji mereka. – DagangNews.com