MBOT, PTPK bentuk kerjasama strategik perkasakan graduan TVET | DagangNews Skip to main content

MBOT, PTPK bentuk kerjasama strategik perkasakan graduan TVET

Datuk Ahmad Amzad Hashim (dua dari kiri) menyaksikan sesi pertukaran MoU di antara MBOT dan PTPK.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bersama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkan pembiayaan pendaftaran para pelatih program Pensijilan Kemahiran Malaysia dengan MBOT. 

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyaksikan sesi pertukaran dokumen di antara MBOT dan PTPK semasa merasmikan program MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event baru-baru ini. 

 

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Eksekutif PTPK, Mohd Fathullah Mustafa, manakala MBOT diwakili Presidennya, Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan pendaftar, Dr Md Fauzi Md Ismail. 

 

Melalui kerjasama MoU itu, PTPK selaku badan yang menguruskan dana pinjaman latihan kemahiran kepada para pelatih Tahap 3, 4 dan 5 program Pensijilan Kemahiran Malaysia akan memberi fasilitasi pembiayaan bagi pendaftaran sebagai Juruteknik Berkelayakan dan Juruteknik Bertauliah (Tc.). 

 

Dengan pembiayaan tersebut, ia akan membantu para pelatih untuk mendaftar secara terus serta mendapat pengiktirafan MBOT.

 

Inisiatif itu dijangka akan melengkapkan keseluruhan rantaian yang bermula daripada latihan kemahiran di Institut Latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke pengiktirafan profesional. 

 

Sehubungan ini, PTPK dan MBOT sama-sama menyeru para pelatih untuk mengambil peluang itu kerana profesion Teknologis dan Juruteknik setaraf dengan profesional yang lain seperti yang dijamin dalam Akta Teknologis dan Jurukteknik 2015 (Akta 768). 

 

Kerjasama itu merupakan satu inisiatif strategik antara dua badan utama dalam ekosistem TVET negara yang masing-masing mempunyai peranan penting. 

 

Sebagai sebuah badan profesional, MBOT sentiasa proaktif untuk memartabatkan bakat-bakat melalui pengiktirafan profesional Teknologis dan Juruteknik. 

 

Manakala PTPK berperanan untuk menyediakan fasilitasi kewangan bagi pengembangan bakat-bakat TVET negara. - DagangNews.com