Skip to main content

Mengapa Maulidur Rasul begitu signifikan kepada umat Islam?

Oleh KHALIJAH MOHD NOR

 

KELAHIRAN Nabi Muhammad S.W.T yang membawa sinar ke seluruh alam pada 12 Rabiulawal tahun Gajah telah membawa satu transformasi baru bagi era peradaban Islam khususnya.

 

Sambutan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun merupakan antara amalan yang diterima sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah (S.A.W.).

 

Jika sebelum pandemik aktiviti bersemuka yang dijalankan seperti perarakan, ceramah, selawat ke atas nabi beramai-ramai,  tidak membataskan kita dalam memperingati  Rasulullah dengan menyambutnya di alam maya.

 

Sebagai contoh, kita boleh menyambutnya seperti mendengar program bual bicara secara langsung di Youtube, Facebook mahupun program ceramah seperti Forum Perdana Ehwal Islam di kaca televisyen. 

 

Selain itu, kita boleh mengadakan kempen selawat ke atas nabi dengan membuat rakaman selawat sekaligus memuat naik di media sosial masing-masing dengan tanda pagar #cintainabi #rindurasullulah dan sebagainya.

 

Dengan adanya gajet seperti telefon pintar kita juga boleh menghasilkan video interaktif tentang nilai murni, budi pekerti dan sifat-sifat terpuji Rasulullah.

 

Maklumat mengenai sirah, sunnah dan juga sifat-sifat Rasulullah dibuat dalam bentuk video pendek dan seterusnya dikongsi di media sosial popular seperti TikTok sekaligus menyuntik ilmu kepada generasi muda dan mengaplikasikannya di kehidupan seharian.

 

Dalam waktu kita yang banyak terluang di rumah sepanjang endemik ini, marilah kita titipkan selawat dan salam kepada Baginda dalam kehidupan kita sehari-hari. 

 

Menurut (Riwayat Muslim dan Abu Daud) “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah S.W.T berselawat ke atasnya 10 kali”. 

 

Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW. 

 

“Kita meyakini Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam seperti yang jelas dalam al-Quran, maka Allah SWT memerintahkan kita bergembira dengan rahmat-Nya. Orang yang gembira terhadap nikmat Allah akan mudah bersyukur kepada-Nya.

 

Mengapakan sambutan Maulidur Rasul itu begitu signifikan kepada umat Islam?

Menurut kata Ustaz Wan Akashah: "Biasanya, kalau kita sayang kepada seseorang, kita akan jaga pusaka yang ditinggalkannya. Ia sama seperti apabila kita menyambut Maulidur Rasul, kita hendaklah menjaga pusaka baginda SAW iaitu al-Quran dan hadis." 

 

Meskipun sambutan maulidur rasul tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya, kita seharusnya terus meraikannya demi memperingati keperibadian dan kisah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W sekaligus mengamalkan dan menghidupkan sunnah nabi.

 

Baginda Rasulullah adalah pemimpin ulung dalam sejarah tamadun manusia  Seorang yang hebat dalam semua aspek kehidupan seperti dalam bidang ketenteraan, komunikasi, psikologi, pentadbiran, kekeluargaan dan sebagainya.

 

 Selain itu empat sifat terpuji yang wajib kita ingati dan contohi ialah sifat benar, amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).  Oleh itu, marilah sama-sama kita amalkan dan menterjemah dalam kehidupan seharian.

 

Kesimpulannya, apabila kita mengamalkan sifat-sifat terpuji Rasulullah, secara tidak langsung ianya akan sebati dalam diri kita dan akhirnya membentuk insan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi. - DagangNews.com

 

 

Khalijah Mohd Nor adalah Pensyarah Kanan, FPP, UiTM Cawangan Melaka