Skip to main content

Mengenali Bilionair atau Orang Ultra Kaya di Malaysia

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

KEBANYAKAN daripada kita mengimpikan hidup senang. Ramai mahu jadi jutawan. Kaya-raya. Dan impian seumpamanya tidak salah, tidak berdosa.

 

Ada beberapa insan menyatakan sengaja menjauhkan dirinya daripada kekayaan material kerana ia telah menghanyutkannya. Itu kes terpencil individu. Kalau semua tidak kaya, itu sudah jadi sosialis.

 

Apa yang harus diberi penekanan ialah kaedah memperoleh kekayaan. Cara halal atau sebaliknya? Lu pikir sendiri lah. Yang tak halal selalunya tidak berkat, panas dan biasanya menghanyutkan.

 

Beberapa hari lepas, terbaca dalam akhbar perniagaan menyenaraikan bilionair di Malaysia. Tiada yang luar biasa sebab tahun balik tahun, orang yang sama sahaja.

 

Cuma yang boleh ditenung ialah ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, ia seolah-olah tidak menjejaskan golongan 1% ini.

 

Menurut laporan The Edge Financial Daily yang berdasarkan senarai bilionair Forbes 2020, lapan daripada 10 orang terkaya di Malaysia meraih dividen besar berjumlah RM1.99 bilion dalam keputusan kewangan yang diumumkan pada suku berakhir 31 Disember 2020, berdasarkan pegangan saham mereka di dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Pengasas Public Bank,  Tan Sri Dr Teh Hong Piow dijangka menerima pulangan dividen terbesar berjumlah RM668.18 juta hasil pegangan sahamnya di dalam bank tersebut dan firma insurans, LPI Capital Bhd.

 

 Tan Sri Dr Teh Hong Piow
Tan Sri Dr Teh Hong Piow

 

Public Bank, yang merupakan kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia dari segi saiz, mengisytiharkan dividen interim sebanyak 13 sen (dibayar 22 Mac) bagi suku keempat tahun kewangan 2020 berakhir 31 Disember 2020.

 

Bank tersebut juga menerbitkan saham bonus empat untuk satu sebagai ganjaran kepada pemegang saham tahun lalu, yang mengembangkan saham bank kepada 4.2 bilion.

 

Teh menguasai 22.78% saham di dalam Public Bank menerusi syarikat pelaburan peribadinya — Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd. Beliau memiliki saham langsung sebanyak 0.64%.

 

LPI Capital pula mengisytiharkan dividen interim 44 sen sesaham juga bagi tempoh yang sama, untuk pembayaran berjumlah RM175.3 juta. Berdasarkan pegangan saham Teh sebanyak 44.15% di dalam LPI, beliau akan menerima bayaran RM77.39 juta.

 

Satu lagi kumpulan perbankan ialah Hong Leong Financial Group Bhd. yang dimiliki Tan Sri Quek Leng Chan, yang dianggarkan bakal meraih dividen RM296.05 juta menerusi pegangannya di dalam HLFG dan Hong Leong Bank Bhd (HLB).

 

Tan Sri Quek Leng Chan
Tan Sri Quek Leng Chan

 

HLFG mengumumkan dividen interim sebanyak 10.8 sen sesaham manakala HLB dividen interim satu tahap sebanyak 14.78 sen sesaham. Quek memegang saham langsung 0.47% dan kepentingan tidak langsung sebanyak 77.88% di dalam HLFG, serta 64.51% di dalam HLB.

 

Seterusnya ialah taikuns telekomunikasi T Ananda Krishnan, yang bakal meraih RM276.04 juta daripada kepentingannya di dalam Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd. Ananda adalah pemegang saham terbesar di dalam Maxis menerusi pegangan tidak langsung sebanyak 62.34% kepentingan. Di dalam Astro, beliau menguasai 41.29%.

 

Ananda
T Ananda Krishnan

 

Maxis mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 5 sen sesaham, manakala Astro 1.5 sesaham.

 

Ananda juga menguasai 34.86% saham di dalam Bumi Armada Bhd, pengendali kapal sokongan pesisir terbesar di Asia. Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengumumkan apa-apa dividen bagi 2020.

 

Seorang lagi taikun terkemuka, Robert Kuok dilapor menerima dividen daripada PPB Group Berhad kira-kira RM274.65 juta  — jumlah keempat terbesar yang diterima dalam kalangan `ultra-kaya’ ini.

 

Kuok
Robert Kuok

 

PPB Group mengumumkan dividen 38 sen, merangkumi dividen akhir 22 sen dan pembayaran khas 16 sen bagi 4QFY20 berakhir 31 Disemberb 2020.

 

Kuok memegang 50.81% saham di dalam konglomerat PPB tersebut menerusi syarikat pelaburan peribadinya, Kuok Brothers Sdn Bhd. Beliau juga memiliki saham di dalam Shangri-La Hotels (Malaysia) Bhd.

 

Penerima dividen terbesar kelima ialah pengasas dan pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon, yang dilaporkan menerima RM162.47 juta daripada syarikat pembuat sarung tangan getah yang baru-baru ini mengumumkan keuntungan bersih RM1 bilion dan dividen interim kedua sebanyak 9.65 sen yang dibayar Februari lalu.

 

Kuan Kam Hon
Kuan Kam Hon

 

Berdasarkan rekod di dalam Bursa, Kuan menguasai kepentingan secara langsung 0.795% di dalam kumpulan dan 48.32% secara tidak langsung menerusi Hartalega Industries Sdn Bhd.

 

Seterusnya ialah tauke perjudian Tan Sri Lim Kok Thay, yang dilapor menerima RM148.73 juta dari segi dividen menerusi sahamnya di dalam Kumpulan Genting yang tersenarai, meskipun kumpulan itu berdepan cabaran berikutan penutupan kasino dan resort disebabkan pandemik.

 

Tan Sri Lim Kok Thay
Tan Sri Lim Kok Thay

 

Ini adalah berdasarkan RM146.54 juta yang dibayar oleh Genting Bhd kepada syarikat pelaburan persendirian milik Kok Thay, Kien Huat Realty Sdn Bhd, dan dividen yang diisytiharkan oleh Genting Plantations Bhd dan Genting Malaysia Bhd.

 

Kok Thay mempunyai saham secara langsung sebanyak 0.44% di dalam Genting Malaysia dan tidak langsung sebanyak 0.05% di dalam Genting Plantations.

 

Seterusnya Datuk Lee Yeow Chor, yang meraih RM141.28 juta dari segi dividen menerusi saham milikinya di dalam IOI Corp Bhd. Lee memiliki 0.16% kepentingan dan tidak langsung 49.94% di dalam kumpulan.

 

Datuk Lee Yeow Chor
Datuk Lee Yeow Chor

 

Sementara itu, Tan Sri Koon Poh Keong pemilik Press Metal Aluminium Holdings Bhd menikmati RM20.22 juta menerusi sahamnya di dalam Press Metal dan PMB Technology Bhd.

 

Tan Sri Koon Poh Keong
Tan Sri Koon Poh Keong

 

Nama-nama yang di atas adalah `ultra kaya’ tetapi sepanjang COVID-19 ini, kita tahu ada satu syarikat yang kerap keluar di dada akhbar sebagai antara peraih manfaat semasa pandemik iaitu Top Glove.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai belum lagi tersenarai sebagai `ultra kaya’. Tapi sedang menuju ke situ. Walaupun begitu, beliau dilaporkan menerima RM460.45 juta dari segi dividen pada akhir tahun 2020 dan RM710.12 juta lagi pada pertengahan tahun ini berikutan jualan tinggi syarikat.

 

Tan Sri Dr Lim Wee Chai
Tan Sri Dr Lim Wee Chai

Ini sekali gus bermakna Wee Chai bakal meraih RM1.17 bilion dari segi dividen berdasarkan pegangan 35.22% saham di dalam Top Glove iaitu 26.56% secara langsung dan tidak langsung sebanyak 8.65%.

 

Datuk Seri Stanley Thai pemilik Supermax Corp Bhd, meraih dividen sebanyak RM38.17 juta sementara Tan Sri Lim Kuang Sia iaitu tauke Kossan Rubber Industries Bhd pula mendapat RM132.99 juta.

 

stanley tai
Datuk Seri Stanley Tai

 

 

Tan Sri Lim Kuang Sia
Tan Sri Lim Kuang Sia

 

Termasuk Kwan, bilionair daripada empat syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar di Bursa, meraih dividen terkumpul bernilai RM794.07 juta berikutan permintaan yang kekal tinggi untuk produk kesihatan walaupun dunia sudah mula menerima vaksin.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu IF YOU LEAVE ME NOW - CHICAGO  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.