Milinial perlu celik Halalan Thoyibban dalam memilih makanan | DagangNews Skip to main content

Milinial perlu celik Halalan Thoyibban dalam memilih makanan

Oleh Dr. HAINNUAQMA RAHIM

 

 

ISU makanan halal semakin popular dan mendapat tempat baik di media cetak mahupun media elektronik. Pendedahan demi pendedahan yang diketengahkan oleh media mengenai isu halal seperti keraguan pada logo halal, sama ada penggunaan logo halal palsu mahupun logo halal yang tidak diiktiraf di premis-premis makanan.

 

Selain itu, isu penggunaan ayat al-Quran di premis makanan milik bukan Muslim telah menarik perhatian orang ramai dan menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat Islam.

 

Hal ini kerana, isu halal merupakan isu agama yang penting dalam membantu memelihara kesucian akidah setiap individu Muslim.

 

Dalam membahaskan isu halal di Malaysia, generasi Milenial dikatakan mempunyai pengaruh kuasa beli yang tinggi dek gelagat yang ditunjukkan oleh generasi ini yang dikatakan amat mementingkan jaminan kualiti, gaya hidup yang sihat dan tidak gemarkan keterhadan dalam pemilihan.

 

Memiliki pemikiran, sifat, tingkah laku dan penilaian yang berbeza berbanding generasi lain terhadap sesebuah perkara, menjadikan generasi Milenial ini dilihat berperanan penting dalam industri makanan.

 

Kenyataan ini dapat diperkuatkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Global Islamic Economic Report  yang menjangkakan generasi Milenial akan menguasai sebahagian besar populasi dunia menjelang tahun 2060 dan populasi Muslim dijangka meningkat saban tahun sehingga boleh mencecah  sebanyak 3.0 bilion, sekali gus telah membawa kepada peningkatan jumlah permintaan produk dan perkhidmatan halal di Malaysia.

 

Laporan ini turut menjangkakan kadar perbelanjaan pengguna Muslim terhadap makanan dan minuman pada masa kini AS$1.37 trilion, akan mencecah sebanyak AS$1.9 trilion menjelang tahun 2023.

 

Umumnya, sikap sering menjadi kayu ukur dalam meneliti faktor yang mempengaruhi pengguna dalam aspek pemilihan makanan. Namun yang menyedihkan, sikap pengguna generasi Milenial terhadap keperluan pemilihan makanan masih samar dan tidak jelas.

 

Tidak mustahil jika dikatakan pengaruh-pengaruh luar terutamanya yang dipopularkan oleh pemengaruh media sosial sedikit sebanyak telah menjejaskan sikap pengguna dalam aspek pemilihan. Sangat membimbangkan lagi, pemilihan makanan halal yang tular di aplikasi TikTok menjadi trend serta budaya dalam kalangan generasi ini.

 

 

gummy

 

 

Satu daripadanya adalah gula-gula yang diberi nama Gummy Eyeball dan Planet Gummy. Status gula-gula Gummy Eyeball dan Planet Gummy boleh diragui kerana sijil halal yang dipamerkan adalah sijil palsu.

 

Tambahan lagi, pada sijil berkenaan tertulis berkuatkuasa hingga Mei 2021 namun, pihak halal daripada China mengatakan bahawa sijil halal mereka sudah tamat pada tahun 2019. Pihak e-Halal China juga dikatakan akan mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut.

 

Sebagai Muslim yang sejati, sudah semestinya penekanan mendapatkan makanan yang halal dan thoyib adalah penting.

 

Konflik kecelaruan dan keraguan mengenai status halal dapat dibendung sekiranya generasi Milenial khususnya mengutamakan produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

 

Oleh itu, dengan rasa tanggungjawab kepada agama, generasi Milenial Muslim ini sewajarnya berhati-berhati dalam membuat pemilihan makanan dan lebih berwaspada apabila membuat pembelian secara dalam talian dan pastikan status halal produk terlebih dahulu. - DagangNews.com

                                                                                   

                                                            

Dr. Hainnuraqma Rahim merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka