MOF Inc. ‘undang’ Ranhill ambil usaha wajar dalam Indah Water Konsortium | DagangNews Skip to main content

MOF Inc. ‘undang’ Ranhill ambil usaha wajar dalam Indah Water Konsortium

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) dijangka mengambil usaha wajar ke atas cadangan pelupusan kepentingan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dalam Indah Water Konsortium Sdn. Bhd (IWK).

 

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat daripada MOF Inc. yang mengundang Ranhill untuk melaksanakan langkah berkenaan, dihantar kepada syarikat itu hari ini. 

 

“Prokhas, sebuah syarikat berhad persendirian, milik penuh MOF Inc. telah dilantik untuk mewakili pihaknya sebagai perundingan cadangan tersebut. 

 

“Usaha wajar itu tidak akan menjejaskan perolehan, aset bersih dan penggearan Ranhill bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2020. 

 

“Langkah itu tidak akan menjejaskan modal saham diterbitkan dan berbayar serta pemegangan ekuiti oleh pihak berkepentingan besar Ranhill,” kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Pada 26 Jun lalu, Ranhil telah menghantar cadangan penstrukturan semula di IWK.

 

Antara lainnya, cadangan itu melibatkan pelupusan kepentingan MOF Inc. dalam IWK kepada Ranhill.

 

“Undangan daripada Prokhas kepada syarikat untuk mengambil langkah usaha wajar membolehkan Ranhill mempunyai askes kepada maklumat penting untuk syarikat memuktamadkan cadangan MOF Inc.,” tambah Ranhill.

 

Jelas Ranhill, langkah itu tidak tertakluk kepada mana-mana kelulusan pihak berkuasa. 

 

Bagaimanapun, sekiranya Ranhill membuat keputusan untuk melaksanakan cadangan itu, syarikat berkenaan perlu mematuhi keperluan undang-undang dan kawal selia termasuk di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com