Moratorium : Bank terasa impaknya tahun depan | DagangNews Skip to main content

Moratorium : Bank terasa impaknya tahun depan

Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Institusi perbankan di dalam negara dijangka merasai kesan penuh pemberian moratorium, hanya bermula tahun hadapan. 

 

Ini ekoran para peminjam masih lagi menikmati manfaat pelaksanaan tersebut, menurut Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking, Datuk Khairussaleh Ramli. 

 

Katanya, impak pandemik ke atas peminjam dan pemiutang akan menjadi lebih ketara selepas Disember 2021, setelah tempoh moratorium itu berakhir. 

 

“Impaknya ketika ini belum lagi ada kerana bantuan itu masih diberikan, jadi impaknya akan ketara nanti. 

 

“Walaupun begitu, sebahagian besar daripada peminjam meneruskan untuk membayar balik, termasuk mereka yang menikmati moratorium,” jelas beliau seperti dilaporkan The Malaysian Reserve

 

Menjelang tamat tempoh pelaksanaan tersebut, beliau berharap aktiviti ekonomi akan beroperasi semula dan kembali normal.

 

Jika dibandingkan pelaksanaan moratorium pada tahun ini berbanding tahun 2020, Khairussaleh tidak menafikan kedua-dua bantuan itu berbeza. 

 

Ini berikutan pelaksanaan moratorium yang pertama merupakan pemberian bantuan secara menyeluruh, sementara yang terkini mengikut pilihan serta individu dan perniagaan berkaitan perlu memohonnya.

 

Disebabkan itu, beliau menjangkakan impak pelaksanaan moratorium kali ini, ke atas bank diramalkan kurang teruk berbanding tahun lalu. 

 

“Bank telah memberi kemudahan dalam menyediakan bantuan, dan sekarang terdapat banyak skim untuk membantu peminjam sementara kami (bank) telah memperuntukkan penyediaan yang lebih awal,” katanya lagi. - DagangNews.com