MYEG, A Tech bekerjasama sediakan perkhidmatan untuk penjawat awam | DagangNews Skip to main content

MYEG, A Tech bekerjasama sediakan perkhidmatan untuk penjawat awam

 

 


KUALA LUMPUR 24 Nov - MYEG Services Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan A Tech Insure Sdn. Bhd. bagi menyediakan penjawat awam dengan platform pembelian perlindungan takaful kenderaan bermotor. 

 

Malah, ia juga membolehkan pembaharuan cukai jalan dibuat melalui kemudahan pembiayaan Qard patuh syariah tanpa faedah yang membolehkan pembayaran ansuran melalui pelan pemotongan gaji sehingga 10 bulan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

MoU itu dijalin berasaskan kepada komitmen dan hasrat kedua-dua pihak untuk bekerjasama antara satu sama lain dalam menawarkan dan memasarkan platform bagi perkhidmatan berkenaan.

 

"Menerusi kerjasama ini, MYEG akan menjalankan operasi dan memastikan platform elektronik memproses semua permohonan yang dikemukakan penjawat awam bagi pembelian takaful kenderaan bermotor dan pembaharuan cukai jalan.

 

"A Tech pula akan memproses setiap pembaharuan secara dalam talian untuk memastikan kelayakan dan mendapatkan bayaran balik melalui potongan gaji," katanya. 

 

Menurut MYEG, kerjasama tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya selepas perjanjian dengan A Tech secara rasmi.

 

"Kerjasama ini tidak memberi sebarang kesan terhadap pemegangan saham utama MYEG. Ia juga tidak memberi kesan material terhadap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021," tambahnya. - DagangNews.com