ALOR SETAR 3 Sept - Kehadiran Orang Asli suku Temiar di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah mencuri perhatian pengunjung yang hadir ke pekarangan Stadium Darul Aman di sini.
Menariknya, masyarakat Orang Asli dari Perak di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut membawakan khas beberapa pengisian aktiviti menarik sepanjang tiga hari jelajah berkenaan berlangsung.
Antara aktiviti yang dilaksanakan buat tatapan pengunjung adalah melibatkan tarian sewang, demo masakan, hasil kraftangan, pertunjukan perangkap tupai dan pelbagai lagi.
Selain itu, terdapat juga rumah Orang Asli turut dibina khas di ruangan tapak pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat cara hidup masyarakat berkenaan.
Penolong Pegawai Jakoa Perak dan Kedah, Ridhuan Dan berkata, pihaknya bersama masyarakat Orang Asli telah melakukan persiapan sejak seminggu lalu bagi mendirikan rumah berkenaan untuk dibawakan khas buat pengunjung di AKM Kedah ini.
“Seramai 12 masyarakat Orang Asli bersama dalam AKM kali ini bagi memberi pendedahan kepada pengunjung yang hadir mengenai cara hidup dan tradisi mereka,” katanya.
Selain itu, Ridhuan berkata, pengunjung yang hadir juga boleh mencuba mengenakan pakaian masyarakat Orang Asli seperti baju yang dibuat dengan kulit kayu dan tempok di kepala.
Katanya, pengunjung juga boleh membeli hasil kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli yang turut dipasarkan kepada mereka.
“Malah, pengunjung turut didedahkan dengan cara masakan orang Asli dan tarian sewang yang merupakan tradisi mereka sejak turun temurun,” katanya.
Tambahnya, booth JAKOA turut menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai sejak hari pertama penganjuran AKM Kedah semalam walaupun keadaan cuaca tidak menentu.
“Orang ramai di sekitar Kedah yang ingin melihat dengan lebih dekat tradisi masyarakat Orang Asli suku Temiar ini bolehlah berkunjung ke booth kami sepanjang tiga hari penganjuran jelajah ini,” katanya.- DagangNews.com