Peguam Negara telah diminta gubal rang undang-undang anti lompat parti | DagangNews Skip to main content

Peguam Negara telah diminta gubal rang undang-undang anti lompat parti

KUALA LUMPUR 24 Sept - Peguam Negara telah diminta untuk menggubal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  Datuk Seri Dr  Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Bagaimanapun kata beliau, ia memerlukan kajian mendalam kerana soal itu amat rumit.

 

“Kerajaan pun baru bermula, proses undang-undang ini bukan (mengambil masa) tiga hari bukan tiga minggu... ambil masa,” katanya  ketika menggulung Usul
Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, semalam lapor Bernama.

 

Beliau menjawab celahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mengenai komitmen kerajaan untuk melaksanakan rang undang-undang itu serta sama ada tindakan lompat parti akan dijadikan kesalahan jenayah atau tidak. 

 

Wan Junaidi berkata apabila draf rang undang-undang itu siap, ia akan dibawa untuk dibincangkan dengan setiap Ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

 

“Apabila siap draf rang undang-undang itu nanti, kami baca satu persatu..., saya akan tanya setiap orang,” katanya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengusulkan mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021 yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini.

 

Sementara itu, berhubung  siasatan kes tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa salah guna kuasa dalam penyelewengan berkaitan urusan kes seorang bekas ketua jabatan, Wan Junaidi berkata bukan menjadi perkara luar biasa bagi sesuatu agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan terhadap pegawainya sendiri asalkan ia termaktub di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

 

Beliau berkata dalam hal itu, apabila first information report (FIR) diterima oleh SPRM, adalah menjadi kewajipan kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan tanpa kelengahan.

 

“Siasatan kes ini masih berjalan dan SPRM akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional serta tiada kompromi untuk melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah,” katanya. - DagangNews.com