Pembelian tanah di Jalan Semarak dilihat mahal, Kenanga Research turunkan penarafan UEM Sunrise kepada 'market perform'  | DagangNews Skip to main content

Pembelian tanah di Jalan Semarak dilihat mahal, Kenanga Research turunkan penarafan UEM Sunrise kepada 'market perform' 

Kawasan tanah di Jalan Semarak yang dibeli UEM Sunrise.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kenanga Research menyemak turun penarafan UEM Sunrise Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini dengan harga sasaran juga dikurangkan kepada 32 sen daripada 40 sen sesaham. 

 

Ini berikutan cadangan kumpulan untuk membeli tanah bernilai RM384.04 juta di Jalan Yahya Petra, Kuala Lumpur dilihat tidak berpatutan dari segi harga.

 

Menurut firma itu, pembelian tanah itu adalah mahal dengan mengambil kira kos tanah/nisbah nilai pembangunan kasar (GDV) dan juga dengan membandingkan urus niaga terkini di sekitar kawasan tersebut.

 

Katanya, dengan hanya GDV RM1.5 bilion, kos tanah kepada GDV adalah tinggi pada 25.6% berbanding urus niaga tanah/GDV biasa sekitar 15%.

 

"Berdasarkan pengiraan kami, didapati GDV RM1.5 bilion seperti dianggarkan UEM Sunrise sebenarnya agak tinggi.

 

"Secara keseluruhan, kami kurang berpuas hati dengan pembeli tanah terkini memandangkan harganya yang mahal," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, anak syarikat milik penuh tidak langsung UEM Sunrise, Lucky Bright Star Sdn. Bhd., menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) dengan Nippponkey Sdn Bhd untuk cadangan pembelian tanah pada jumlah harga belian RM384.04 juta.

 

Pelaburan itu akan dijelaskan melalui pembayaran tunai sebanyak RM235.79 juta manakala RM148.25 juta lagi tidak melibakan wang.

 

Bidang tanah pegangan bebas seluas 2.58 hektar itu terletak di Jalan Yahya Petra, sebelum ini dikenali sebagai Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

 

Tanah di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan dan pembangunan itu dianggarkan menjana GDV RM1.5 bilion dalam tempoh empat tahun bermula dengan tentatif pelancarannya pada 2024.

 

Menurut Kenanga Research, pada RM1,380 satu kaki persegi, harganya adalah jauh lebih tinggi daripada penilaian tanah MRCB Semarak City sebanyak RM226 satu kaki persegi yang dinilai oleh Raine dan Horne pada Ogos 2017.

 

Tanah MRCB Semarak City yang berkeluasan 27.5 ekar terletak hanya terletak satu kilometer arah utara dari tanah yang baru diperoleh ini.

 

"Walaupun tanah MRCB menjadi pegangan pajak dan dinilai lima tahun lalu, kami mendapati sukar untuk menyelaraskan perbezaan harga. 

 

"Begitu juga, urus niaga tanah yang lebih kecil di kawasan itu memperoleh harga di bawah RM500 satu kaki persegi," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan penggearan bersih UEM Sunrise akan meningkat kepada 0.54 kali berbanding 0.5 kali (setakat suku pertama 2022) selepas melaksanakan pengambilalihan tersebut. 

 

"UEM Sunrise juga dijangka terus mencatat kerugian di tengah-tengah cabaran dalam landskap hartanah dan kedudukan bank tanah mereka yang kebanyakannya di bahagian selatan, mengambil masa yang lama untuk menjana kewangan," katanya.

 

Setakat 9.20 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 1.64% kepada 31 sen dengan 1.08 juta saham diniagakan.- DagangNews.com