Pembukaan sempadan, fasa endemik rangsang pertumbuhan ekonomi 2022 | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sempadan, fasa endemik rangsang pertumbuhan ekonomi 2022

Malaysia tidak mungkin berdepan dengan sekatan pergerakan di seluruh negara pada tahun ini. - Gambar/unsplash karya ryoji iwata
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 April - Pembukaan sempadan negara dan peralihan kepada fasa endemik mulai hari ini, akan menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara bagi 2022.

 

Malah, Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada permintaan global yang kukuh dan lonjakan harga komoditi, menurut MIDF Research dalam laporan prospek bagi suku kedua 2022. 

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6% berbanding sasaran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 5.3% hingga 6.3%. 

 

Jelasnya, ekonomi negara kekal menunjukkan peningkatan trajektori dengan pemulihan dalam ekonomi domestik bagi 2022 juga akan berterusan memandangkan pengguna dan perniagaan akan meningkatkan perbelanjaan berikutan prospek yang lebih baik. 

 

"Kami percaya Malaysia tidak mungkin berdepan dengan sekatan pergerakan di seluruh negara pada tahun ini, memandangkan hampir 80% penduduk sudah menerima 2 dos vaksin manakala 50% sudah menerima dos ketiga. 

 

"Walaupun dengan ketibaan varian Omicron, kes harian baharu yang disahkan mencapai kemuncaknya pada awal Mac lalu dan kemudiannya menunjukkan aliran lebih rendah," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

 

covid-19

 

 

Pemulihan pasaran buruh

 

Berikutan prestasi dagangan yang melebihi jangkaan pada Januari hingga Februari 2022, firma itu turut menaikkan unjuran eksport dan import yang lebih tinggi bagi tahun ini, masing-masing kepada 7.8% dan 9.6%.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research melihat permintaan luar yang semakin meningkat bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi terutama minyak sawit dan minyak dan gas (O&G), akan menyokong pertumbuhan eksport beberapa bulan akan datang.

 

Bagaimanapun, ia berkata, risiko daripada gangguan rantaian bekalan yang berterusan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan di China dan perang Rusia-Ukraine boleh mengekang aktiviti perdagangan dan pengeluaran global.

 

Selain itu, unjuran untuk permintaan luar juga boleh terjejas oleh inflasi yang tinggi memandangkan harga tenaga dan komoditi lain yang turut meningkat.

 

Didorong pembukaan sempadan negara, prospek dagangan yang lebih baik dan asas makroekonomi kukuh, ia akan merangsang pemulihan pasaran buruh terutama pada separuh kedua 2022 dengan kadar pengangguran diunjur lebih rendah pada 4%.

 

"Memandang ke hadapan, kami melihat pasaran buruh Malaysia akan terus berada pada kadar pemulihan yang stabil seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan dalam kadar kekosongan kerja yang mencecah rekod tertinggi baharu pada 47.1% pada Disember lalu," jelasnya.

 

 

BNM

 

 

Jangkaan kenaikan kadar faedah

 


Dalam pada itu, firma itu menyemak semula unjuran indeks harga pengguna (IHP) kepada 2.5% berbanding 2.1% sebelum ini berikutan lonjakan harga komoditi global. 

 

Ia berpendapat, tekanan inflasi akan dipengaruhi secara tidak langsung terutamanya inflasi makanan yang lebih tinggi pada 3.5% (daripada anggaran awal, 2.3%). 

 

"Memandangkan kerajaan meneruskan mekanisme subsidi bahan apinya, kami meramalkan inflasi bahan api akan terus menurun dan meletakkan inflasi bukan makanan kekal rendah pada 2.1% pada 2022 (2021: 2.8%)," katanya.

 

Dengan kadar inflasi yang berlegar-legar dalam julat unjuran BNM, MIDF Research berpendapat bank pusat kurang berdepan tekanan untuk mengubah pendirian dasarnya dengan lebih ketat.

 

Oleh itu, katanya, normalisasi dasar dijangka berlaku pada separuh kedua iaitu pada suku ketiga 2022, tetapi ia bergantung kepada sejauh mana kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan situasi makroekonomi terutamanya pemulihan pasaran buruh dan permintaan domestik.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan kenaikan hutang isi rumah," jelasnya.

 

 

ringgit

 


Prospek ringgit

 


Mengenai ringgit pula, menurutnya, lebihan akaun semasa yang mampan dan jangkaan aliran masuk dana ke Malaysia akan menyokong peningkatan nilai ringgit tahun ini.

 

Malah, ia menjangkakan ringgit akan mengukuh dengan peningkatan dalam prospek pertumbuhan dan selera pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

 

"Bagaimanapun, dengan mengambil kira permintaan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh disebabkan perang di Ukraine dan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang mempengaruhi prestasi ringgit pada suku pertama, kami menjangkakan ringgit akan mengukuh dengan lebih perlahan tahun ini.

 

"Unit mata wang tempatan ini diunjur mengukuh kepada RM4.09 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini dengan berlegar pada purata RM4.13," katanya.

 

Walaupun Malaysia menyaksikan prospek yang cerah, tetapi firma itu berpendapat faktor kelemahan luaran masih kekal di dalam radar. 

 

"Kestabilan dalam pasaran kewangan mungkin terjejas oleh kenaikan kadar yang lebih pantas oleh Fed dan pengetatan dasar oleh bank pusat lain," tambahnya. 

 

 

putrajaya

 

 

Bahang pilihan raya

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin terasa dengan jangkaan pada Ogos 2022, juga dilihat akan mempengaruhi pasaran tempatan. 

 

Katanya, impak PRU-15 terhadap ekonomi bergantung kepada kestabilan kerajaan baharu yang bakal dibentuk kelak.

 

"Jika kerajaan dibentuk oleh gabungan pelbagai parti, maka kita akan melihat ketidaktentuan pasaran yang berterusan, penyampaian fiskal yang tidak berkesan dan risiko ketidakstabilan politik yang tinggi," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, setelah mengambil kira semua faktor, firma tersebut mengekalkan unjuran FBM KLCI akhir tahun sekitar 1,700 mata. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor automotif, perbankan, pengguna, penjagaan kesihatan, O&G, perladangan, teknologi, media dan REITS.

 

"Memandangkan kami kekal optimis dengan prospek ekonomi, kami percaya saham yang berkaitan prestasi ekonomi akan mendapat manfaat paling banyak.

 

"Begitu juga pemain komoditi akan mendapat kelebihan daripada harga komoditi yang tinggi," katanya. - DagangNews.com