Skip to main content

Pemburuan status 'Raja Asia Tenggara' Harimau Malaya di Piala AFF, bermula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Skuad Harimau Malaya memulakan aksi untuk memburu status 'Raja Asia Tenggara' dengan pertemuan menentang Kemboja dalam saingan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, petang ini.

 

Saingan edisi ke-13 itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali akibat COVID-19.

 

Diletakkan dalam Kumpulan B, cabaran terbesar Malaysia sebenarnya adalah pada perlawanan ketiga dan keempat iaitu menentang musuh tradisi, Indonesia serta juara dua kali, Vietnam. 

 

Biar pun dikatakan bukan 'kumpulan maut' seperti dalam Kumpulan A yang memperlihatkan Thailand, Myanmar, Filipina dan Singapura, namun Harimau Malaya tidak boleh memandang rendah pasukan-pasukan lain. 

 

Dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos disifatkan 'wajib' menang sebelum melangkah bertemu Vietnam serta Indonesia. 

 

Misi layak ke separuh akhir bukanlah mustahil, malah cubaan mencipta kejutan memenangi kejuaraan ini juga bukanlah sasaran 'melangit'. 

 

aff

 

Bagaimanapun, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berdepan berita kurang menyenangkan apabila dua tonggak utama iaitu Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim yang dijangkiti COVID-19.

 

Disebalik masalah yang melanda kem negara menjelang aksi pertama, skuad negara memiliki barisan pemain yang boleh dikatan seimbang di setiap posisi seperti Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tahun ini, Arif Aiman Hanapi, Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim Shamsudin selain Safawi Rasid.  

 

aff1

 

Bagaimanapun, Cheng Hoe masih lagi meletakkan kepercayaan kepada Guilherme De Paula untuk mengetuai jentera serangan meskipun kerap menjadi mangsa kecaman penyokong akibat aksi hambar yang ditampilkan sebelum ini.

 

Beliau mengharapkan impak yang positif daripada pemain naturalisasi negara itu dalam membantu pasukan mendapatkan kemenangan sulung dan tiga mata penting dalam kejohanan 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu.

 

aff2

 

Malah, bekas pengendali Kedah itu juga percaya bahawa De Paula sudah matang dalam menyerap pelbagai tekanan yang diberikan terutama selepas dilihat sentiasa menjadi bahan kritikan sebahagian penyokong Harimau Malaya sebelum ini.

 

"Kita lihat dalam latihan dia (De Paula) bersungguh-sungguh dan memiliki keyakinan tinggi. Kita harap dia boleh beri sesuatu atau menjaringkan gol dan memberi impak yang terbaik untuk pasukan," katanya.

 

Berdasarkan rekod, De Paula hanya meledak satu gol menerusi sepakan penalti ketika Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Jun lalu selain meledak satu gol dalam perlawanan persahabatan menentang Kuwait yang mana skuad negara tumpas 1-4. - DagangNews.com