Pemegang saham ketiga terbesar tiada hasrat tinggalkan Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham ketiga terbesar tiada hasrat tinggalkan Serba Dinamik

Datuk Awang Daud Awang Putera, pemegang saham ketiga terbesar Serba Dinamik.

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 11 Jun - Tindakan Datuk Awang Daud Awang Putera, pemegang saham ketiga terbesar konglomerat Serba Dinamik Holdings Berhad melupuskan 8.5 juta saham semalam, hanyalah langkah taktikal `margin call', bukan petanda beliau meninggalkan syarikat. 

 

Awang Daud merupakan pengarah bukan eksekutif bukan bebas syarikat penyedia minyak dan gas bersepadu global itu, menjual 8.5 juta sahamnya di pasaran terbuka pada purata harga 64.02 sen yang bersamaan dengan 0.23% pegangan sahamnya. 

 

Awang Daud masih memiliki 66.79 juta saham atau 1.8% kepentingan, sekali gus menepis spekulasi pasaran bahawa langkah penjualan sahamnya semalam, kononnya beliau akan meninggalkan rakan baiknya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah.

 

Perkara ini diperjelaskan oleh sumber rapat kepada pengurusan Serba Dinamik kepada DagangNews.com pagi ini, bahawa spekulasi tersebut tidak berasas sama sekali.

 

BACA : Saham Serba Dinamik dibuka rendah

 

“Tidak betul dan tidak berasas mengatakan Datuk Awang Daud dan Datuk Karim berpisah. Mereka sudah menjadi rakan niaga sebegitu lama sejak 1993 lagi.

 

"Ya, benar Datuk Awang Daud `terpaksa' menjual demi untuk meraih `margin call' dan ia adalah taktikal pasaran saham semata-mata," kata sumber yang enggan namanya direkodkan.

 

serbadinamik
Ibu pejabat Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.

 

Sejak diselubungi isu audit KPMG, Serba Dinamik menyaksikan penjualan 481,000 saham oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pada 4 Jun lalu, selepas menjual 681,300 saham pada 2 Jun dan 273,900 saham pada 3 Jun. Ini menjadikan pegangan saham KWSP sebanyak 367.41 juta saham atau 9.9%.

 

Penganalisis pasaran bagaimanapun, percaya langkah KWSP itu dibuat oleh pengurus dana individu dan tidak menggambarkan pendirian KWSP secara mutlak.

 

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim yang merupakan pemegang saham utama syarikat iaitu 27.07% kepentingan telah membeli balik sebanyak 5 juta sahamnya pada 31 Mei, pada hari saham itu didagangkan semula selepas digantung 2 hari susulan isu audit KPMG pada 25 Mei lalu.

 

Baca : Serba Dinamik perjelas isu tukar juruaudit

 

Baca : Serba Dinamik jadi sasaran?

 

Baca : Serba Dinamik lesap RM315 bilion minggu lalu

 

Begitu juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif Datuk Abdul Kadier Sahib yang telah membeli balik saham syarikat berjumlah 11 juta unit.

 

Beliau yang merupakan pemegang saham kedua terbesar telah membeli 3 juta lagi saham di pasaran terbuka pada 4 Jun, selepas membeli 5 juta pada 2 Jun dan 3 juta pada 3 Jun, meningkatkan pegangan sahamnya menjadi 602.9 juta saham atau 16.25%. - DagangNews.com

 

UPDATED 12 JUNE 2021 : Official statement by the co-founder of Serba Dinamik: Groundless Denunciations