Penggabungan Celcom-Digi percepat aspirasi digital negara, beri manfaat untuk semua | DagangNews Skip to main content

Penggabungan Celcom-Digi percepat aspirasi digital negara, beri manfaat untuk semua

KUALA LUMPUR 29 Jun - Axiata Group Bhd (Axiata) dan Digi.Com Bhd berharap dapat merealisasikan potensi syarikat penggabungan yang dicadangkan (MergeCo) dari segi memperkukuh kapasiti bagi memacu pendigitalan untuk pengguna, perniagaan, ekosistem rakan kongsi dan pembangunan bakat tempatan.

 

MergeCo akan menyediakan kualiti dan liputan rangkaian yang lebih baik kerana ia akan bersedia untuk melabur dalam pengembangan rangkaian untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk data dan pendigitalan.

 

Dalam merealisasikan dengan lebih lanjut potensi digital negara, MergeCo bercadang untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh 5 tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur bagi memastikan Malaysia berada di barisan hadapan revolusi digital global.

 

Pusat inovasi itu penting dalam memajukan penyelidikan dan pembangunan yang meluas dengan memanfaatkan teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT).

 

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, penyampaian rangkaian dan ketersambungan yang lebih baik untuk pelanggan mereka amat penting.

 

Katanya, sebagai 2 syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam menyumbang ke arah pengukuhan negara, kumpulan teruja dengan kemasukan digital dan peluang-peluang pertumbuhan yang akan dimanfaatkan oleh MergeCo dan pusat inovasi yang dicadangkan itu.

 

"Kami berharap dapat memainkan peranan aktif dalam menggalakkan daya saing negara melalui penyediaan platform sambungan dan penyelidikan bertaraf dunia di samping menyokong usahawan dan bakat digital negara dalam perlumbaan untuk meletakkan Malaysia dengan yakin untuk pertumbuhan dalam ekonomi digital," katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

 


Baca : MCMC luluskan penggabungan Celcom dan Digi

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) awal pagi ini mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com dan Celcom Axiata Bhd.

 

Penggabungan yang disebutkan itu membabitkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Celcom.

 

Digi dan Celcom adalah pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini, justeru penggabungan akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

 

Dengan kelulusan MCMC itu, MergeCo akan berada pada kedudukan yang baik untuk memacu penyelesaian 5G, memangkinkan peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik dan menjalinkan kerjasama dengan gergasi digital global bagi menyokong aspirasi Jendela dan MyDigital.

 

MergeCo akan turut memanfaatkan gabungan skala ekonomi untuk menyampaikan manfaat kepada pelanggan melalui pengagihan teras yang diperkukuh, operasi rangkaian yang dipertingkatkan dan kecekapan yang direalisasikan daripada aktiviti operasi.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Digi.Com, Haakon Bruaset Kjoel berkata, bersama Celcom dan Digi akan membawa inovasi yang lebih baik bagi memenuhi keperluan digital pelanggan yang semakin berkembang dan mereka yang terlibat dalam ekonomi digital untuk menerokai peluang pertumbuhan baru dalam dunia yang pesat berkembang. 

 

"Kami kini akan menumpukan kepada menyelesaikan langkah seterusnya yang diperlukan untuk menyelesaikan transaksi ini dan berusaha untuk menyampaikan program penyepaduan yang lancar untuk membawa visi dan nilai entiti yang digabungkan menjadi realiti untuk manfaat orang ramai,” katanya.

 

Naib Presiden dan Ketua Eksekutif Telenor Asia, Jørgen Arentz Rostrup pula berkata, kedua-dua pihak telah mencapai kejayaan positif dalam proses penggabungan Malaysia dengan pelepasan kawal selia daripada MCMC.

 

"Dengan cadangan langkah-langkah struktur di Thailand dan Malaysia, Telenor mempunyai cita-cita yang jelas untuk mewujudkan syarikat yang sesuai pada masa hadapan yang boleh menyokong aspirasi digital negara dan membawa perkhidmatan baharu dan termaju kepada pengguna di seluruh rantau ini," jelasnya. - DagangNews.com