KUALA LUMPUR 15 Nov – Pengharaman operasi kedai empat nombor ekor di Kedah dijangka memberi impak kecil kepada kedudukan kewangan Berjaya Sports Toto dan Magnum walaupun dilihat sebagai negatif oleh penganalisis ekonomi.
Menurut firma penyelidikan CGS-CIMB, Kedah hanya mewakili 3.1% kedai Sports Toto dan 2.7% kedai Magnum dibanding di seluruh negara ini.
Pada masa ini kata firma itu, belum ada bagaimana pengharaman itu dilaksanakan ke atas kedai-kedai judi tersebut di Kedah tetapi dijangka ditutup secara berperingkat-peringkat apabila lesen mereka tamat tempoh dalam 12 bulan ini.
``Dalam senario paling buruk di mana semua kedai judi diarah tutup sejak semalam sehingga diberitahu kelak, kami menganggarkan kehilangan sumbangan daripada kedai judi ini kepada Berjaya Sports Toto antara 2% hingga 3% sahaja.
‘’Begitu juga bagi Magnum hanya antara 2% hingga 4%,’’ kata CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya hari ini.
Selain dari Kedah, dua lagi negeri iaitu Kelantan dan Terengganu diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang telah mengharamkan kedai judi berkenaan.
‘’Bagaimanapun, kami tetap melihatnya sebagai perkembangan negatif kerana ia menunjukkan risiko peraturan yang berpotensi lebih besar bagi kedai judi seumpamanya dan menjejaskan sentimen terhadap sektor ini dalam masa terdekat,’’ kata firma itu lagi.
CGS-CIMB tidak mengubah unjurannya terhadap kedai judi tersebut disebabkan impak perolehan yang kecil dan sementara menanti penjelasan lanjut mengenai bentuk pengharaman tersebut.
Firma itu menganggarkan jualan kedai judi akan merudum suku atas suku pada 3Q2021, yang telah pun terjejas semasa perintah kawalan pergerakan sebelum ini.
‘’Berjaya Sports Toto dan Magnum dijangka mencatat kerugian bersih pada Q3 tetapi dijangka kembali untung pada 4Q,’’ kata CGS-CIMB lagi.
Semalam, Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri ini, bagi memastikan Kedah bebas daripada aktiviti tersebut pada masa akan datang.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian sedia ada.
“Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memastikan Kedah bebas judi, (jadi) di bawah bidang kuasa PBT, kita memutuskan untuk tidak lagi memberi sebarang kelulusan lesen premis perjudian,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Bajet Kedah 2022, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini.
Beliau berkata pihaknya tidak mengambil tindakan menutup premis perjudian sedia ada, tetapi tidak akan memperbaharui lesen perjudian yang sekali gus menyebabkan pengusaha premis tidak dapat beroperasi, selepas lesen mereka tamat tempoh. – DagangNews.com