Skip to main content

Perbicaraan kes letak otak di siku

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

MAAF, belum bicara lagi. Masih disiasat. Maaf bukan otak letak pada siku. Letak lutut. Tidak apa. Orang tahu otak patut letak pada kepala. Maaf Merrepak tidak menyebelahi Astro Awani atau polis. Dua-dua kawan. Jadi kita cuba jadi objektif.

 

Jadi mari kita memulakan huraian butir-butir kes daripada awal. Supaya kita tidak kehilangan atau kesesatan konteks cerita. Demi kebenaran, minta anda tabah membaca. Merrepak ini cuba guna bahasa mudah supaya anda tidak menyampah.

 

Fakta 1: Punca Kejadian Ungkapan Otak 

Tersebarlah kisah penjual burger di Kelantan didenda RM50,000 atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Kes ini mendapat perhatian seluruh negara kerana ramai bersimpati terhadap sesiapa juga yang berusaha mencari nafkah semasa ekonomi perit akibat PKP COVID-19 ini.

 

Jadi bila tular cerita penjual burger ini bagaikan dianiaya, orang yang mendendanya dikecam dan orang yang menggaji mereka, turut sama jadi sasaran melepas geram.

 

Ada juga orang tertentu turut sama ambik kesempatan raih markah dengan menawarkan diri untuk tolong bayar denda. Belum dikira cemuhan dan kekecewaan ribuan orang di dalam media sosial.

 

Orang yang mendenda itu dilabel sebagai tidak berhati perut kerana menekan rakyat yang susah semasa COVID-19 ini, lagi-lagi dia hanya berjual depan rumah sendiri.

 

Ketika inilah, Awani masuk mengulas cerita ini dalam segmen berita 7.45 malam. Video ulasannya tersebar. Ayat yang disebutnya: "Ketika otak yang diletaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah otak diletak di lutut".

 

merrepak

 

Fakta 2: Polis tersinggung

Amat jelas pihak yang mendenda penjual burger iaitu polis menjadi tumpuan kecaman rakyat di seluruh negara. Bukan satu tapi dua kes, khabarnya. Apakah disebabkan sensasinya isu sekarang, tiada lagi sesiapa akan didenda berat RM50,000? Entahlah.

 

Pada 30 April, media melaporkan PDRM sudah membuka kertas siasatan terhadap kes pembaca berita stesen Awani yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

 

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan sehingga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa terutama pasukan PDRM.

 

Fakta 3: Tular Penjual Burger Pernah Didenda

Menerusi media sosial juga, tersebar cerita latar belakang penjual burger yang teraniaya dan dikatakan bahawa tindakan denda RM50,000 itu dikenakan setelah dia berulang kali melanggar arahan PKP.

 

Dia pernah didenda RM1,000 atas kesalahan pertama membuka perniagaan sehingga melewati tempoh dibenarkan, malah dikatakan jadi port lepak sehingga subuh.

 

Menurut media sosial juga, polis berulang kali memberi amaran tetapi penjual berterusan melanggar perintah PKP sehinggalah dikeluarkan denda RM50,000 ke atasnya.

 

Penularan cerita ini, disertai gambar rumah, kereta serta resit makan yang menunjukkan penjual ini bukan penjual burger marhain seperti yang ramai jangkakan, termasuk jutawan yang membantu membayar denda itu.

 

merrepak

 

Tapi itu semua tidak relevan. Apakah kerana seseorang itu memiliki kereta Honda Civic maka dia tidak berhak meraih simpati kita? 

 

Lagi pun, marhain atau kayangan, bila didenda RM50,000 memang sesak nafas, apalagi RM60,000 disebabkan buat kenduri nikah.

 

Fakta 4: Persoalan berbangkit

Tetapi persoalan pokoknya, apakah polis atau agensi yang diberi mandat menguatkuasakan undang-undang PKP sudah menggunakan pendekatan lembut, memberi nasihat, memberi amaran dan sebagainya terlebih dahulu kepada rakyat jelata?

 

Persoalan lain, apakah semua agensi penguatkuasaan diberi taklimat, panduan atau SOP bagaimana untuk melaksanakan tugas mereka dengan cekap, tanpa mengakibatkan kerimasan dan ketakutan rakyat jelata?

 

 

merrepak

 

Implikasinya ialah bila terlampau tegas, ia memang mendatangkan kemarahan, kegelisahan dan kebencian. Andai denda pertama RM1,000 dan kemudian disusuli RM5,000 mungkin tidak mencetuskan kemarahan seluruh negara. Itu mungkin sahaja. Kadang-kadang denda RM300 kesalahan trafik pun orang tular. Tengok nasiblah.

 

Sebenarnya, semua ini amat penting kerana di kala kita berharap pihak berkuasa berjiwa rakyat, mereka juga harus tegas. Kerana dalam keadaan sekarang, ramai seolah tidak mengendahkan SOP penjarakan sosial semasa pandemik COVID-19 ini.

 

Pusat beli-belah dikerumuni ramai, seolah-olah COVID-19 sudah berjaya ditambat. Seolah-olah kita semua sudah disuntik vaksin. Tahu tak apa berlaku di India sekarang? Tak tahu sebab hanya belek Facebook, like cerita kawan shopping raya...

 

Fakta 5: Awani terlebih berani atau terlajak perahu?

Awani ditubuhkan oleh Astro sebagai saluran berita 100% menyerupai CNN iaitu `saluran berita 24 jam di Malaysia’.

 

Pemerhati industri media melihat disebabkan pemilikannya adalah Astro (berbanding dengan media cetak yang ditunjangi parti politik) maka stesen TV ini selamba menongkah arus di dalam persembahan beritanya.

 

Keberanian tersebut dapat dilihat pada tahun-tahun penggulingan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah pada 2018, di mana Awani dilihat berpendirian menentang kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

 

Kecenderungan tersebut lebih ketara bila wartawan kanan Awani dilihat masam muka dan muncung semasa melaporkan secara langsung pilihan raya kecil di mana Pakatan Harapan tewas berturut-turut.

 

Bila pentadbiran Pakatan Harapan tumbang, ia mengambil masa setahun juga untuk Kamarul Bahrin Haron disingkirkan sebagai Ketua Pengarang Astro Awani dan kini ditunggu-tunggu sama ada akan menyertai stesen tv baharu atau terus menjadi hos acara-acara elit yang membayar tinggi yuran penampilannya.

Kamarul Bahrin Haron
                      Kamarul Bahrin Haron

 

 

Dalam konteks insiden terbaharu ini, ia tiada kena mengena dengan kecenderungan politik warga Astro Awani sama ada berkias atau terang-terangan. Ini kisah Awani mahu menjadi Fox News.

 

Biasanya guru kewartawanan akan memberi pesanan, hendak mengkritik biar berfakta, jangan berkata-kata seolah anda seorang sahaja pintar, orang lain bodoh; hendak membidas biar ada kelas.

 

Ada kelas maksudnya, depan TV tidak boleh guna bahasa serupa diguna di kedai kopi atau depan kawan-kawan. `Kepala otak, kepala lutut, kepala kelapa gitteuw...’ – semua tidak manis disebut di dalam TV, walaupun itulah kemungkinan ungkapan tepat diguna oleh rakyat marhain. Kita ada etika. Junjunglah etika kewartawanan.

 

Dengan berpegang kepada etika kewartawanan, maka bila di dalam TV penyampai berita kenalah jadi:

Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan”.

 

Tetapi orang akan berkata itu gaya orang lama, sudah lapuk dimakan zaman. Ini zaman Netflix, kaedah diplomasi tak laku sudah. Jadi kaedah terbaik ialah menyergah. Jadi jika Awani yakin kepada tindakannya, maka...

 

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan”.

 

Selepas membawa huraian ceritera terhangat April 2021 di atas, bagaimana kalau kita tengok pula alkisah Ketua Polis Negara bergaduh dengan Menteri Dalam Negeri.

 

Ooopss... kita KIV sekejap ya. Nanti sambung balik. Nak cari mangga harumanis dulu. - DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu  Perfect Strangers oleh Deep Purple berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.