Skip to main content

Perlis Rock Climbing Base Camp, Gua Kelam tarikan terbaru Perlis

AKTIVITI luar memang banyak memberi manfaat kepada kesejahteraan fizikal dan mental, dan hakikat ini semakin mendapat perhatian semasa pandemik.

 

Pada 2021, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menganggarkan terdapat lonjakan aktiviti luar di seluruh Malaysia.

 

Memandangkan kesedaran yang semakin meningkat tentang kesihatan dan kesejahteraan, pelancongan kembara kini semakin popular dalam kalangan pengunjung tempatan dan asing.

 

Semakin ramai orang kini ingin mencuba pelancongan berkaitan alam sekitar, menjadikan aktiviti seperti glamping (perkhemahan glamor), menyusuri hutan, sukan air, berbasikal dan panjat batu semakin popular.

 

Sejajar dengan wawasan yang didukung Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk meletakkan Perlis di persada sukan panjat batu dunia, MyUS Venture Partners Sdn Bhd akan membangunkan Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam.

 

Lokasi ini memang terkenal dan popular dalam kalangan penggiat aktiviti memanjat batu. Majlis pecah tanah baru-baru ini dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Semula Jadi, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyUS Venture Partners Sdn Bhd, Dato’ Nellsen Young berkata, “Semasa kami merancang dan merangka aktiviti memanjat batu dan pakej pengembaraan, kami telah bekerjasama rapat dengan Perlis Climbers (Persatuan Mendaki Negeri Perlis) yang biasa dengan lokasi memanjat setempat, dan merupakan kumpulan terbaik untuk memberikan cadangan dan maklum balas.

 

 

perlis
Gambaran bangunan Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam

 

 

"Selain daripada aktiviti memanjat batu, kami berhasrat untuk memperlihatkan keindahan persekitaran dan alam semula jadi di Perlis, menerusi lawatan dan pengalaman pelancongan khas dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

 

"Antara aktiviti yang kami rancang termasuk penerokaan gua, memanjat pokok, lawatan penghayatan alam, menyusuri hutan, pengembaraan mengenali hidupan liar, pengembaraan mengenali alam, laluan kanopi, pelancongan kembara khusus dan banyak lagi,” kata beliau.

 

Meliputi kawasan seluas 23,094 kilometer persegi (kps) dan ruang terbina 9,880 kps, Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam menempatkan 40 bilik yang boleh menempatkan empat orang sebilik dan 10 khemah premium yang boleh didiami oleh empat orang setiap satu.

 

 

perlis

 

 

Kemudahan tersebut akan diuruskan dan dikendalikan oleh MyEco Discovery Sdn Bhd dari pejabat pengurusannya yang terletak di Kangar Jaya, Perlis.

 

Perlis memang terkenal dengan keindahan pemandangan sawah padi, bongkah batu kapur dan rumah kayu kampung tradisional. Sering digelar negeri ‘belum diterokai’, negeri paling kecil di Malaysia ini dianugerahkan dengan khazanah alam yang masih tidak terusik oleh arus pembangunan.

 

Langkah MyUS Venture Partners Sdn Bhd untuk menambah baik kemudahan memanjat batu adalah sejajar dengan misinya untuk meletakkan Perlis dalam agenda pelancongan Malaysia, sekali gus menyokong potensi ekopelancongan negara.

 

Penggiat aktiviti memanjat batu tempatan, Alif Ahmad, yang sudah terlibat dalam sukan ini selama 15 tahun, amat gembira dengan pembangunan kem induk baharu ini.

 

"Langkah membina kemudahan untuk menyokong komuniti memanjat batu memang dialu-alukan. Kem ini ternyata satu kelebihan penting apabila para pemanjat menilai lokasi memanjat di negara ini.

 

perlis

 

"Malaysia berpotensi menjadi pusat sukan panjat batu antarabangsa jika kemudahan dan infrastruktur lebih baik disediakan untuk menyokong sukan ini," katanya.

 

Pada Expo 2020 Dubai, yang diadakan pada lewat 2021, MOTAC mengiktiraf potensi ekopelancongan Malaysia untuk menjadikan negara ‘Destinasi Ekopelancongan Pilihan di Dunia’, seperti yang digariskan dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

 

Menyedari banyak organisasi yang mesti bekerjasama untuk mencapai matlamat ini, Perlis Rock Climbing Base Camp menyokong misi negara untuk mengutamakan strategi dan amalan pelancongan lestari dan bertanggungjawab.

 

Bagi masyarakat perniagaan di Perlis, kem induk ini juga akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan, sama ada yang berkaitan secara langsung dengan kem induk atau dengan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

 

“Sebelum ini, aktiviti memanjat batu hanya sesuai untuk kumpulan khusus pemanjat tegar kerana kepakaran tinggi yang diperlukan. 

 

"Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam bertujuan menjadikan aktiviti memanjat batu lebih mudah disertai oleh semua, dengan menyediakan kakitangan dan peralatan yang sesuai, dan juga menempatkan ruang latihan tersendiri, iaitu Eco-Adventure Centre, untuk memenuhi keperluan pemanjat baharu, amatur dan juga profesional,” tambah Dato’ Nellsen.

 

 

perlis

 

 

Perlis Rock Climbing Base Camp akan turut menyediakan hentian rehat bagi pengunjung dan pemanjat, iaitu Eco-Adventure Boutique Accomodation, dan juga kafe di belantara, bagi mereka yang ingin menikmati sajian segera atau minuman menyegarkan.

 

Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam dijadualkan memulakan operasi pada Disember 2022, dan bersedia untuk menerima ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa menjelang akhir tahun, manakala pelancaran rasminya dijadualkan pada Januari 2023. - DagangNews.com