Permintaan emas meningkat, lonjak untung bersih Tomei kepada RM15.8 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Permintaan emas meningkat, lonjak untung bersih Tomei kepada RM15.8 juta pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Mei - Untung bersih Tomei Consolidated Bhd. meningkat 14.6% kepada RM15.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM13.8 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Pertumbuhan keuntungan itu dicapai dengan margin keuntungan yang lebih tinggi sejajar dengan kenaikan harga emas pada tempoh berkenaan.

 

Bagaimanapun, hasil bagi tempoh tersebut susut 4% kepada RM234.15 juta daripada RM244.16 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Penurunan itu disebabkan hasil yang berkurangan sebanyak 32% menerusi segmen pembuatan dan borong kumpulan sebanyak RM60.73 juta pada suku pertama berbanding RM89.61 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Walaupun merekodkan penurunan hasil, tetapi keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan meningkat kepada RM21.7 juta daripada RM18.24 juta bagi tempoh sama 2021 disebabkan margin keuntungan kasar yang lebih baik.

 

Sementara itu, segmen peruncitan kumpulan pada suku semasa meningkat 6% kepada RM174.48 juta berbanding RM164.57 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih baik segmen ini didorong kempen pemasaran yang agresif dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat-peringkat sejak Ogos 2021, menyaksikan permintaan pelanggan semakin meningkat. 

 

Ini menyaksikan segmen tersebut merekodkan PBT yang lebih tinggi sebanyak RM17.7 juta berbanding RM16.18 juta bagi tempoh sama 2021.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Nd Yih Pyng, sejak negara beralih kepada fasa endemik mulai 1 April lalu, didapati lebih banyak pasangan merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan, dan ini menjadi antara pemacu pertumbuhan kumpulan pada masa akan datang.

 

Katanya, pembukaan semula sempadan juga memberi manfaat kepada prospek perniagaan kumpulan yang menyaksikan kemasukan ramai pelancong sekali gus menyumbang kepada pemulihan industri runcit.

 

"Bagaimanapun, kami bimbang dengan ketidaktentuan di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine yang masih berterusan dan tekanan inflasi di seluruh dunia.

 

"Sehubungan itu, kami akan memantau keadaan semasa secara berterusan, dan mengambil langkah yang perlu untuk mengekalkan operasi kumpulan bagi tahun kewangan 2022," katanya. - DagangNews.com