Petronas bekal gas asli kepada 2 firma di Sarawak mulai tahun depan | DagangNews Skip to main content

Petronas bekal gas asli kepada 2 firma di Sarawak mulai tahun depan

Pada 2016, Petronas memeterai perjanjian bersama dengan kerajaan negeri untuk membekalkan 450 MMscfd gas asli kepada Sarawak. - Gambar ihsan Petronas dari laman web Offshore Energy

BINTULU 23 Ogos - Petronas memulakan pembangunan kemudahan penghantaran gas di Tanjung Kidurong, Bintulu mulai tahun depan, yang akan membekalkan gas asli kepada Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (SPSB) dan Sarawak Energy Bhd. (SEB).

 

Majlis pecah tanah bagi Kemudahan Penjualan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

BAGSF-2 direka bentuk dengan kapasiti untuk menghasilkan sehingga 390 juta kaki padu standard gas sehari (MMscfd).

 

Kemudahan itu merangkumi kawasan seluas 70 hektar dan memiliki bangunan pentadbiran khusus, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti.

 

Ia akan menghantar 160 MMscfd gas asli kepada loji menatol milik kerajaan negeri Sarawak dikendalikan SPSB, yang kini sedang dibina di Tanjung Kidurong.

 

Sementara itu, sebanyak 70 MMscfd lagi akan dibekalkan kepada loji tenaga SEB di Tanjung Kidurong. Kapasiti selebihnya akan membolehkan kemudahan itu membekalkan gas asli kepada bakal pelanggan.

 

 

Petronas
Majlis pecah tanah bagi Kemudahan Penjualan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) semalam, yang dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Negeri dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Sim Kui Hian.  

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, pembangunan BAGSF-2 menandakan satu lagu pencapaian penting Petronas untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bagi pertumbuhan mampan industri minyak dan gas.

 

Katanya, sebaik sahaja kemudahan itu beroperasi, ia akan memberi nilai tambah kepada aktiviti sumber hidrokarbon di Sarawak, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan negeri bagi industri petrokimia dan tenaga domestiknya.

 

"Kami tidak sabar untuk membina kerjasama yang kukuh dengan kerajaan negeri Sarawak bagi membangunkan sumber demi kemakmuran negeri dan juga negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada 2016, Petronas memeterai perjanjian bersama dengan kerajaan negeri untuk membekalkan 450 MMscfd gas asli kepada Sarawak bagi penjanaan tenaga dan industri petrokimia milik negeri.

 

Ini diikuti satu lagi memorandum persefahaman pada 2021, bagi meningkatkan bekalan gas kepada 1,200 MMscfd untuk Sarawak. - DagangNews.com