Petronas Chemicals bakal pengeluar tunggal melamin di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals bakal pengeluar tunggal melamin di Asia Tenggara

GURUN 24 Ogos - Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) melancarkan projek kilang melaminnya di sekitar kompleks Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn. Bhd. (PCFK) yang dijangka beroperasi pada 2024.

 

Dengan kapasiti 60,000 tan setahun, ia menjadikan PCG sebagai pengeluar tunggal melamin di Asia Tenggara.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, anak syarikat PCG, PCFK yang telah beroperasi sejak 1999 telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah.

 

"Adalah menjadi harapan saya agar loji melamin ini akan mengukuhkan lagi kawasan tersebut sebagai zon pengeluar bahan kimia dengan piawaian antarabangsa di rantau Asia Pasifik," katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek kilang tersebut yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof dan Penolong Pegawai Daerah Kanan Bahagian Pengurusan Tanah, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin.

 

 

petronas chemicals
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tiga dari kanan) selepas melancarkan projek kilang melamin Petronas Chemicals di Gurun, Kedah, semalam. 

 

 

Untuk membina loji melamin, PCG akan menggunakan teknologi industri dari Switzerland yang akan membolehkan ia beroperasi dengan kecekapan tinggi terutamanya dari segi penggunaan tenaga.

 

Loji yang menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah, membolehkan PCG menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga lebih kompetitif kerana penyepaduan maksimum dengan kompleks PCFK sedia ada membolehkan pelaburan minimum dalam utiliti dan kos lain.

 

Projek itu mencerminkan komitmen PCG untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk berkualiti tinggi, terutama dalam industri pembinaan dan isi rumah sejajar dengan pertumbuhan penduduk.

 

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, projek itu kepada PCG kerana ia mengukuhkan lagi strategi kumpulan untuk mempelbagaikan portfolio produk dengan menambah nilai kepada molekul daripada produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin dan lain-lain.

 

"Lebih penting lagi, sebagai satu-satunya pengeluar melamin di rantau ini, kami dapat memenuhi permintaan Malaysia dan melayani pasaran serantau, yang kini merupakan pengimport bersih melamin.

 

"Memandangkan permintaan yang kukuh dalam pasaran Asia Tenggara yang sedang pesat membangun, kami yakin pelaburan ini akan terus menyumbang kepada pertumbuhan PCG," katanya.  - DagangNews.com