Petronas Gas berdaya tahan harungi cabaran pandemik - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas berdaya tahan harungi cabaran pandemik - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Petronas Gas Bhd. mampu mempamerkan pretasi yang terus berdaya tahan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan akibat cabaran pandemik COVID-19. 

 

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berkata, ini terbukti meskipun hasilnya mencatat penurunan 21% disebabkan perbelanjaan operasi (opex) lebih tinggi, tetapi untung teras bagi suku kedua berakhir 30 Jun sebanyak RM438.6 juta masih memenuhi unjuran yang dibuat.

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Petronas Gas dengan harga sasaran tidak berubah pada RM17.06.

 

"Secara dasarnya, kumpulan mempamerkan pendapatan yang konsisten dalam tempoh setahun memandangkan Rangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) memberi perlindungan kepada pendapatan bagi tahun kewangan 2020-2022 di bawah Tempoh Peraturan 1 (RP1), yang tidak terjejas dengan krisis wabak ini. 

 

"Oleh itu, pendapatan bagi pengangkutan gas, pemprosesn gas dan terminal regasifikasi yang dikawalselia dapat dijangkakan manakala utiliti pula bergantung kepada kecekapan operasi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut Kian Yeong, projek pemasangan salurn paip bernilai RM541 juta bagi memenuhi keperluan kemudahan di Pulai Indah sepatutnya menjadi pemacu baharu pertumbuhan di bawah RP2 apabila projek itu siap pada suku pertama 2023.

 

Baca : Untung bersih Petronas Gas 2Q susut kepada RM439 juta

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Petronas Gas susut 19.75% kepada RM439.07 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, RM547.1 juta. 

 

Perolehan kumpulan turut susut kepada RM1.38 bilion bagi tempoh itu berbanding RM1.4 bilion tahun lalu. 

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 pula, untung bersih Petronas Gas meningkat kepada RM955.47 juta daripada RM915.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut kepada RM2.72 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, RM2.8 bilion. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, prospek Petronas Gas dilihat menyakinkan terutama bagi utiliti dan pemprosesan gas. 

 

Malah, katanya, di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, prestasi kumpulan masih kukuh bagi baki tahun ini membabitkan kontrak jangka panjang, yang akan memastikan pendapatan stabil menerusi segmen perniagaan. 

 

"Pendapatan menerusi segmen pemprosesan gas dilihat terjejas manakala pengangkutan gas dan regasifikasi dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan di bawah tarif RP1," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM17.90. 

 

Setakat 10.59 pagi ini, saham Petronas Gas susut 8 sen kepada RM15.92 dengan 102,800 saham diniagakan. - DagangNews.com