U Mobile rancang IPO di Malaysia pada 2025, jangka kumpul lebih RM2 bilion - Reuters | DagangNews Skip to main content

U Mobile rancang IPO di Malaysia pada 2025, jangka kumpul lebih RM2 bilion - Reuters

KUALA LUMPUR 2 Julai - U Mobile Sdn Bhd merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka dapat mengumpul lebih daripada AS$500 juta atau RM2.34 bilion pada separuh pertama tahun 2025 (1H25), menurut laporan Reuters bedasarkan dua sumber yang mempunyai pengetahuan terus mengenai perkara tersebut.

 

Ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd yang disokong Temasek Holdings Pte Ltd merupakan antara pemegang saham utama U Mobile.

 

Syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur ini akan mengemukakan permohonan IPO kepada badan kawal selia pada penghujung bulan ini, atau Ogos, untuk urus niaga yang akan menilai firma tersebut lebih daripada US$2 billion (RM9.36 billion), tambah kedua-dua individu itu.

 

Urusan ini, kata Reuters, jika dijalankan, boleh menjadi IPO terbesar di Malaysia dalam hampir lapan tahun, menurut data LSEG (London Stock Exchange Group).

 

Hasil yang dikumpulkan akan digunakan untuk memperluaskan rangkaian rangkaian data mudah alih, antara lain, kata salah seorang sumber. 

 

Sumber-sumber tersebut enggan mendedahkan nama mereka kepada agensi berita itu semasa membincangkan maklumat sulit.

 

"Dasar korporat kami adalah untuk tidak mengulas spekulasi kerana pengumuman yang perlu akan dibuat jika terdapat sebarang perkembangan konkrit dalam hal tersebut," kata U Mobile dalam kenyataan sebagai jawapan kepada pertanyaan Reuters pada hari Isnin.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maxis pertimbang beli U Mobile bagi bantu perkembangan di negara Asia - Bloomberg

 

Syarikat itu menambah, ia sedang bersiap sedia untuk bertindak balas dan menyertai tender bagi membina rangkaian 5G kedua di Malaysia.

 

U Mobile telah merancang untuk mengadakan IPO di bursa saham tempatan sejak tahun 2014.

 

Jika berjaya, IPO U Mobile akan menjadi yang terbesar di Malaysia sejak Lotte Chemical Titan Holdings Bhd dari Korea Selatan mengumpulkan US$879 juta (RM4.11 bilion) pada tahun 2017.

 

Penyenaraian U Mobile juga akan membantu meneruskan aktiviti pasaran IPO yang kukuh di Malaysia ke tahun depan.

 

Menurut data LSEG, pasaran IPO Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara pada separuh pertama tahun ini.

 

Diasaskan pada tahun 2006, U Mobile merupakan syarikat telekomunikasi termuda di Malaysia dengan rangkaian yang siap untuk 5G, menurut laman webnya. - DagangNews.com