Pikas cipta manfaat ekonomi buat industri MICE | DagangNews Skip to main content

Pikas cipta manfaat ekonomi buat industri MICE

Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas). Kredit gambar Selangor Kini.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) COVID-19 yang diumumkan pada 12 Jun baru-baru ini turut mencipta manfaat ekonomi kepada industri berkonsepkan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang terjejas teruk akibat pandemik.

 

Manfaat tersebut dilihat apabila lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan dibangunkan bagi menampung permohonan vaksinasi syarikat di bawah Pikas.

 

Susulan itu juga, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pihaknya sedang menilai beberapa lokasi berpotensi untuk dijadikan PPV bagi melancarkan program Pikas.

 

"Usaha membangunkan PPV dilipatgandakan bagi menampung permohonan syarikat di bawah #PIKAS.

 

"Selain membantu mempercepatkan vaksinasi di Malaysia, Pikas juga mencipta manfaat ekonomi bagi industri #MICE yang terkesan teruk akibat pandemik," jelas MITI dalam satu ciapan di laman Twitter rasminya hari ini.

 

Pikas yang memfokuskan prosus vaksinasi bagi sektor pembuatan itu dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

.

 

Usaha tersebut adalah bagi membantu mempercepatkan vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja seiring matlamat untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

 

Langkah berkenaan amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan COVID-19 selain memastikan ekonomi kembali cerdas dan terus berdaya tahan.

 

Dalam ciapan sama, MITI turut memuat naik video ringkas berkaitan perancangan penuhuban PPV di bawah Pikas.

 

Jelas MITI, Pikas telah membuka ruang pembukaan lebih PPV untuk kegunaan vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor kritikal.

 

"Pada masa yang sama, pembangunan PPV ini telah mencipta manfaat ekonomi kepada pemilik ruang persidangan, pameran dan acara secara amnya yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19," jelas MITI lagi. - DagangNews.com