Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten rancang luas pasaran ke Singapura, Indonesia | DagangNews Skip to main content

Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten rancang luas pasaran ke Singapura, Indonesia

Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan mengintai perkembangan ke pasaran Singapura dan Indonesia tahun ini.

 

Menerusi katalog yang mengandungi lebih daripada 53,000 produk, platform berkenaan menerima pengiktirafan kerana memiliki koleksi terbesar dalam pasaran tempatan justeru meraih gelaran Platform Dropship Terbesar di Malaysia oleh MBOR.

 

Ini bermakna pengguna boleh melakukan jualan dengan memilih dan menyelaraskan sejumlah 53,000 produk ke kedai Lazada atau Shopee mereka tanpa membeli atau menyimpan stok barangan berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumoten, Isaac Leong berkata, Kumoten bermula di bawah OGN Online Sdn. Bhd. pada 2014 dengan misi untuk membantu penjual dalam talian memperoleh pendapatan daripada e-dagang dengan mudah, cepat dan mempunyai risiko serendah mungkin. 

 

"Perniagaan kami berkembang pesat dan secara rasminya, kini kami mempunyai 53,598 barangan di dalam sistem," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Isaac dan abangnya, Yew Meng bersama-sama menubuhkan syarikat tersebut yang memperkasa dan membolehkan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

Disokong oleh kepercayaan dan keyakinan daripada Cradle Fund Sdn. Bhd. dan Commerce.Dotasia Ventures Sdn. Bhd., Kumoten telah mencipta peluang pendapatan untuk ramai rakyat Malaysia. 

 

kumoten

 

Yew Meng berkata, Kumoten bekerjasama dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi inisiatif kerajaan Malaysia di bawah Inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 yang terbukti sangat berjaya. 

 

Menerusi inisiatif itu, Kumoten membolehkan lebih daripada 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan individu untuk menjana pendapatan daripada perniagaan secara dropship di Lazada dan Shopee.

 

Daripada serendah RM69, Kumoten menyediakan risiko paling rendah kepada individu yang mahu memulakan perniagaan. 

 

Tidak seperti perniagaan tradisional, peniaga dropship tidak perlu membeli atau menyimpan stok untuk jualan dan seseorang itu boleh mula menjual barangan mereka serta-merta.

 

Platform Dropship Kumoten membolehkan kemas kini baki stok secara automatik untuk semua peniaga dropship yang terbabit. 

 

Apabila terdapat tempahan baharu, kuantiti baki stok dikemas kini di akaun peniaga dropship untuk mengelakkan situasi terlebih jualan. Apabila tempahan keluar dari gudang atau dihantar ke pembeli, sistem Kumoten mengemas kini status pelunasan di Lazada atau Shopee. - DagangNews.com