PLUS jangka trafik 1.6 juta kenderaan sehari semasa cuti CNY, galak orang ramai ikut cadangan jadual perjalanan | DagangNews Skip to main content

PLUS jangka trafik 1.6 juta kenderaan sehari semasa cuti CNY, galak orang ramai ikut cadangan jadual perjalanan

PETALING JAYA 26 Jan - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta buah kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina yang bermula 28 Januari 2022 sehingga 6 Februari 2022 ini.

 

Bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak ini, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

 

Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

 

Untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 tengahari. 

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA.

 

Ia bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuhraya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak.

 

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.


 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 


Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

 

Zakaria juga menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

 

Beliau turut menegaskan bahawa perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatan keselamatan selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.

 

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan ketika memandu di lebuh raya.

 

Pada masa yang sama, pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuhraya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24-jam setiap hari.

 

Bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuh raya, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go dan baki eWallet RFID Touch ‘n Go sentiasa mencukupi.

 

Visual serta maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi paparan CCTV di dalam aplikasi PLUS. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan mengikuti Twitter PLUSTrafik dan Chatbot PUTRI serta aplikasi Waze ataupun GoogleMap. - DagangNews.com