KUALA LUMPUR 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.
Ismail Sabri berkata, beliau berharap syarikat korporat lain akan turut mencontohi usaha tersebut dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
"Kerajaan prihatin atas cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Dalam konteks ini, kerajaan telahpun memastikan semua penjawat awam menerima jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.
"Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut Perdana Menteri turut mengumumkan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara.
Beliau berkata, GDRN itu merangkumi skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.
"Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan, manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.
"Dengan skop baharu korporat ini ini, GDRN akan menerajui usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu," katanya.
Beliau berkata, pada tahun 2013, beberapa GLC dan GLIC telah bergabung usaha untuk menubuhkan GDRN bertujuan menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka.
"Antara tahun 2013 dan 2016, rangkaian ini telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor.
"Dalam tempoh 2 tahun sejak tahun 2020, GDRN juga telah berjaya membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM327 juta, termasuk geran padanan kerajaan melebihi RM55 juta," katanya.
Katanya, kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat benih cengal yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi Malaysia.
"Bagi tempoh jangka masa panjang, semua menikmati manfaat benih ini yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang “Makmur, Inklusif dan Mampan” bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia," katanya.
Beliau berkata, Hari Terbuka GLC 2022 bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik COVID-19.
Bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’, Hari Terbuka GLC 2022 menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pascapandemik dan mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat, selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.
Katanya, sepanjang tiga hari ini, Keluarga Malaysia harus merebut peluang-peluang yang ditawarkan oleh GLC dan GLIC, termasuk peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sokongan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peluang kerjasama dengan GDRN oleh badan-badan bukan kerajaan bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada Keluarga Malaysia.
BACA JUGA: GLC perlu capai 30% penyertaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah pada 2023 - PM
"Adalah menjadi harapan saya agar platform seperti ini menjadi pemudah cara bagi Keluarga Malaysia dan GLC untuk mendekati dan menyumbang kepada satu sama lain. Berdasarkan pencapaian masa lalu, sememangnya wajar untuk kita meletakkan harapan tinggi terhadap syarikat-syarikat GLC dan GLIC dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com