Program MyReskill IoT tingkat produktiviti melalui digitalisasi | DagangNews Skip to main content

Program MyReskill IoT tingkat produktiviti melalui digitalisasi

 

 


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Program MyReskill IoT yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi dalam kalangan pemain industri.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, adaptasi dan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor ekonomi diharap dapat menyumbang kepada 30% peningkatan produktiviti menjelang 2030.

 

Katanya, penggunaan teknologi memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi diwujudkan dalam pasaran kerja. 

 

"Sehubungan itu, program ini akan menyokong dan menggalakkan peningkatan kemahiran dan latih semula kepada pekerja sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa industri dan juga keperluan masa hadapan.

 

"Malah, program ini juga penting bagi meningkatkan produktiviti di peringkat perusahaan, sektor dan nasional," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Program MyReskill IoT secara maya hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman.

 

Program MyReskill IoT bertemakan 'Peningkatan Produktiviti melalui Digitalisasi' turut disertai dengan pembentangan projek proof-of-concept (POC) oleh Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd. 

 

Penggunaan IoT membolehkan syarikat ini mendigitalkan tugas yang sebelum ini dilakukan secara manual dan memantau papan pemuka secara jarak jauh. 

 

Kesannya, ia berjaya menjimatkan kos sebanyak RM300,000 yang seterusnya telah meningkatkan kecekapan operasi sebanyak 33% dan produktiviti lebih tinggi.

 

Peserta Program MyReskill IoT ini akan mengikuti modul secara atas talian selama 5 hari dan berpeluang mendalami teknologi IoT serta pengetahuan teknikal bagi pelaksanaan di syarikat masing-masing. 

 

Selepas sesi dalam talian, para peserta akan membangunkan projek POC dalam masa seminggu melalui bimbingan MPC, pusat teknologi dan rakan teknologi.

 

Sementara itu, Abdul Latif berkata, peranan inovasi teknologi dalam peningkatan pertumbuhan produktiviti telah diterima di peringkat global.

 

Katanya, ini berdasarkan Laporan 2021 OECD Economic Survey of Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat di Malaysia memerlukan satu anjakan baharu bagi memacu pertumbuhan produktiviti.

 

"Oleh itu, usaha pendigitalan perlu dilipatgandakan bagi mencapai tahap digitalisasi yang lebih tinggi ke arah peningkatan produktiviti," katanya. - DagangNews.com