Projek LNG Canada-Petronas bersedia untuk penghantaran | DagangNews Skip to main content

Projek LNG Canada-Petronas bersedia untuk penghantaran

 


 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Projek gas asli cecair (LNG) bernilai C$18 bilion di Kitimat, British Columbia yang dijalankan LNG Canada yang mana Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memiliki 25% kepentingan dijangka bersedia untuk penghantaran pada pertengahan dekad ini di sebalik krisis pandemik COVID-19. 

 

Menurut laporan Vancouver Sun, kerja-kerja utama bagi projek tersebut sedang berjalan dan ia termasuklah penyediaan tapak projek yang sudah dimajukan, pemasangan cerucuk, pengorekan dan pembinaan terminal marin di Kitimat. 

 

Pengarah Hal Ehwal Korporat LNG Canada, Susannah Pierce berkata, di sebalik kesan daripada penularan virus COVID-19, LNG Canada dan kontraktor perolehan kejuruteraan dan pembinaan, JGC Fluor JV telah menempuh tempoh kritikal dalam projek ini. 

 

"Kami kekal komited untuk memulakan penghantaran pertama kargo pada pertengahan dekad ini," katanya dalam laporan tersebut. 

 

Malah, jelas laporan itu lagi, projek itu akan mencairkan gas asli dari timur laut British Columbia di lojinya yang terletak di Kitimat, barat laut British Columbia yang mana ia akan dimuatkan dalam kapal dan dihantar ke pasaran Asia. 

 

"Pemain utama yang menyokong projek ini termasuklah Shell, Petronas (syarikat milik Malaysia), PetroChina milik kerajaan, Mitsubishi (Jepun) dan Korea Gas Corporation (Korea Selatan)," katanya. 

 

Buat masa ini, lebih daripada 3,200 pekerja sedang bekerja di tapak projek tersebut memandangkan langkah-langkah keselamatan telah diambil.

 

Sebelum ini, LNG Canada terpaksa mengurangkan sehingga 1,500 pekerja ekoran pandemik tersebut. 

 

Petronas mengumumkan projek bersama LNG Canada pada 2 Oktober 2018 selepas membuat keputusan pelaburan terakhir. 

 

Ketika itu, Petronas berkata, entiti milik penuhnya, North Montney LNG Ltd Partnership memiliki 25% penyertaan kepentingan dalam projek tersebut yang mana peserta usaha sama lain adalah Royal Dutch Shell plc, PetroChina Co Ltd, Mitsubishi Corp. dan Korea Gas Corporation. - DagangNews.com