Prospek pendapatan automotif UMW Holdings dijangka lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan automotif UMW Holdings dijangka lebih tinggi

UMW Hodings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Prospek pendapatan segmen automotif syarikat UMW Hodings Berhad (UMW Holdings) dijangka lebih tinggi menjelang tahun kewangan 2021.

 

CGS-CIMB Resarch berkata, menilai kepada perkembangan itu juga, pihaknya turut meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan.

 

"Kami menaikkan EPS (UMW Holdings) tahun kewangan 2020-2022 sebanyak 9% hingga 38%.

 

"Kami juga menaikkan saranan saham kepada 'tambah' berbanding 'pegang' pada sebelum ini memandangkan prospek pendapatan automotif yang lebih kuat didorong oleh pelancaran model kenderaan baharu pada tahun kewangan 2021 selain pergerakan forex yang baik berikutan kenaikan dalam ringgit berbanding dolar AS," jelas CGS-CIMB Research.

 

UMW Holdings mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM101.3 juta pada suku ketiga 2020 berbanding jumlah kerugian iaitu RM78.4 juta pada suku terdahulu.

 

Prestasi positif itu didorong oleh beberapa bahagian yang memberi sumbangan tinggi iaitu automotif, peralatan dan pembuatan serta kejuruteraan (M&E).

 

Pendapatan bahagian automotif meningkat 93% kepada RM2.1 bilion pada suku ketiga 2020 didorong oleh penjualan yang tinggi susulan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan.

 

Jumlah jualan Perodua dan UMW-Toyota (UMWT) meningkat 2.4X berbanding suku lalu.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, kumpulan tersebut turus optimis untuk mencapai jumlah jualan yang lebih kuat pada suku keempat 2020 yang disokong oleh pengecualian cukai jualan dan pelancaran model kenderaan baharu seperti Yaris, Vios dan Hilux.

 

Perodua kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jumlah penjualan tahun 2020 kerana kumpulan itu telah mencapai 82% daripada 210,000 dalam tempoh 10 bulan pertama 2020.

 

"Kami percaya permintaan tinggi untuk model Perodua memberi kesan baik kepada bahagian komponen dan pelincir automotif UMW yang merupakan salah satu pembekal kepada Perodua," ujar CGS-CIMB Research lagi.

 

Sementara itu, MIDF Research yang mengulas perkara sama berkata, UMWT menyasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun kewangan 2021 yang lebih baik berbanding tahun kewangan 2020.

 

"Sasaran baharu itu adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancaran model kenderaan baharu.

 

"Sebarang lanjutan pengecualian cukai akan menjadi bonus," tambah MIDF Research.

 

MIDF Research memutuskan untuk mengekalkan saranan 'beli' saham UMW Holdings dengan TP yang tidak berubah bernilai RM3.10. - DagangNews.com