PublicInvest kekal pandangan 'outperform', 3 segmen dijangka pacu prospek Greatech | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal pandangan 'outperform', 3 segmen dijangka pacu prospek Greatech

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Greatech Technology Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.70 berikutan prospek kumpulan yang menyakinkan. 

 

Malah, firma itu percaya ia satu peluang yang baik kepada pelabur untuk mengumpul saham Greatech berikutan penurunannya baru-baru ini. 

 

Setakat 12.13 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 19 sen atau 3.96% kepada RM4.99 dengan 3.3 juta saham diniagakan.

 

Selepas menghadiri taklimat secara maya bersama Greatech semalam, firma itu berkata, pengurusan yakin untuk merekodkan perstasi yang kukuh bagi tahun kewangan 2022 (FY22) meskipun tidak mencapai sasaran nilai kontrak pada tahun lalu.

 

Katanya, prestasi kukuh itu akan dipacu menerusi segmen kenderaan elektrik (EV), solar dan sains perubatan yang dikenal pasti sebagai pemangkin utama kumpulan dalam tempoh 2 tahun akan datang. 

 

"Pengurusan menyasarkan nilai kontrak sebanyak RM500 juta bagi FY22 berbanding RM586 juta yang diperolehnya tahun lalu. 

 

"Kira-kira RM300 juta atau 60% adalah menerusi industri EV manakala selebihnya daripada solar (RM100 juta) dan segmen baharu, sains perubatan (RM100 juta. 

 

"Malah, pengurusan kumpulan juga yakin untuk mencapai margin keuntungan sekurang-kurangnya 30%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ia mendapati pengurusan gagal mencapai sasaran FY21 sebanyak RM68 juta terutamanya disebabkan kelewatan dalam salah satu pesanan pembelian sistem barisan pengeluaran bateri EV kerana pelanggan ingin membuat perubahan pada reka bentuk kereta.

 

Namun begitu, pihak pengurusan menjangkakan akan menerima pesanan menjelang suku pertama FY22. 

 

Dalam pada itu, PublicInvest berkata, Greatech telah menerima bayaran penuh daripada Lordstown selepas memenuhi semua penghantarannya. 

 

Pengurusan kumpulan juga, katanya, mahu memberi lebih fokus kepada pengeluar kereta terkemuka dan menyasarkan sekurang-kurangnya 7 hingga 8 pelanggan baru dari Amerika Syarikat (AS) dalam segmen penumpang dan komersial bagi tahun ini

 

"Saiz kontrak bagi setiap barisan pengeluaran bateri EV adalah bernilai sekurang-kuranya RM20 juta. 

 

"Sementara itu, nilai kontrak untuk sistem barisan pengeluaran solar dijangka berkurangan tahun ini kerana kontrak terkini RM160 juta adalah bahagian terakhir daripada pelanggan utamanya berikutan pengembangan kapasiti baharu di Ohio dan India," jelasnya.

 

Mengenai penyertaannya dalam segmen sains perubatan, firma itu berkata, pengurusan akan menumpukan kepada pembolehubah diagnostik dan penggunaan tunggal untuk perniagaan sains perubatan, yang akan memperoleh margin yang lebih menarik daripada segmen EV. Setiap saiz kontrak adalah bernilai sekurang-kurangnya RM50 juta.

 

PublicInvest menjangkakan kilang pengeluaran di Batu Kawan, Pulau Pinang yang mempunyai keluasan 265,000 kaki per segi akan siap pada April ini dan boleh diduduki menjelang Mei. 

 

"Ini akan menyaksikan pelan lantai gabungan kumpulan itu akan melonjak daripada 391,400 kaki persegi kepada 950,000 kaki persegi. 

 

"Dalam pada itu, kumpulan juga sedang dalam proses memuktamadkan pelan induk untuk kilang keempat, yang akan terletak di atas sebidang tanah pajakan seluas 11.5 ekar di Batu Kawan," katanya. - DagangNews.com