Skip to main content

QES Group beli tanah di Pulau Pinang bernilai RM4.79 juta

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - QES Group Bhd. menerusi anak syarikatnya, QES Mechatronic Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli dengan Penang Development Corp. membabitkan cadangan pembelian tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai, Selatan, Pulau Pinang bernilai RM4.79 juta. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, QES berkata, pembelian tanah yang berkeluasan 87,120 kaki persegi itu akan dibiayai menerusi dana dalaman atau pinjaman bank, berdasarkan kepada nilai tanah taman perindustrian tersebut pada RM55 kaki persegi. 

 

Katanya, cadangan perolehan ini dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 6 bulan bermula dari tarikh perjanjian.

 

"Langkah ini akan memperluaskan operasi kumpulan untuk menyokong pertumbuhan masa depan dan pelan pengembangan segmen pembuatan dan pengedaran QES," katanya hari ini.   

 

Harga pembelian yang dicapai adalah berasaskan penerimaan pembeli dan penjual dengan kumpulan menjangkakan ia tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2021.

 

Dengan menganggap 80% daripada pertimbangan jumlah pembelian itu dibiayai menerusi pinjaman bank, langkah itu akan meningkatkan nisbah gearan QES kepada 0.26 berbanding 0.29 sebelum itu.  

 

Menurut QES, cadangan perolehan tanah itu akan digunakan untuk pemeriksaan pembuatan, pengukuran, pengendalian peralatan automasi dan prototaip elektro-mekanikal hingga pengeluaran volum tinggi untuk industri semikonduktor. 

 

Selain itu, katanya, ia juga bagi kegunaan sains hayat, pertahanan, aktiviti berkaitan pembangunan dan penyelidikan aeroangkasa, teknologi industri dan revolusi perindustrian 4.0 serta penyelesaian pembuatan pintar. - DagangNews.com