Renault lancar model Zoe R110 dan R135 baharu pada harga bermula RM163,000 | DagangNews Skip to main content

Renault lancar model Zoe R110 dan R135 baharu pada harga bermula RM163,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan Renault Zoe baharu akan dijual dan tempahan mula dibuka. 

 

Renault dalam satu kenyataan berkata, model generasi terbaharu itu menawarkan keseronokan pemanduan elektrik 100% ke satu dimensi baru. 

 

Katanya, dengan peningkatan kuasa dan jarak, pelbagai tambah baik dari segi kejuruteraan dan teknologikal bersama gayaan Perancis yang tersendiri, Zoe baharu nyata lebih menarik. 

 

"Sejak pengeluaran massa dilancarkan pada tahun 2012, Renault Zoe terus memenangi hati pemandu dengan hampir 380,000 unit telah terjual sehingga penghujung Mei 2022. Dua varian akan ditawarkan ke pasaran Malaysia iaitu R110 and R135 dengan konfigurasi motor yang berbeza. 

 

"Rangkaian kuasa yang telah dinaik taraf ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang lancar dan responsif. Ditawarkan pada harga RM163,000, Zoe R110 baharu menawarkan kuasa maksimum 80kW dan tork 225Nm untuk pemanduan yang cekap," katanya.

 

Sementara itu, Zoe baharu R135 yang lebih berkuasa menawarkan kuasa 100kW dan tork maksimum 245Nm. Harga rasmi untuk Zoe R135 baharu masih belum ditetapkan tetapi ia dijangka sekitar RM175,000. 

 

Menurutnya, Zoe R110 dan R135 dikuasakan dengan bateri 52 kWh Z.E. 50 baharu daripada Renault yang mampu menawarkan jarak sehingga 395 km berdasarkan kepada standard WLTP.

 

 

renault

 

 

"Ini merupakan peningkatan sebanyak 25% berbanding bateri generasi sebelumnya tanpa penambahan dari segi dimensi. Renault Zoe baharu juga menawarkan keupayaan pengecasan pantas (DC) menerusi penambahan plug Combo CCS2 ke dalam pilihan pengecasan Type 2 alternating current (AC) sedia ada," katanya.

 

Katanya dengan pengecasan DC, Renault Zoe baharu mampu mencapai jarak sehingga 145 km apabila dicas selama 30 minit. 

 

"Melalui pengecasan AC Type 2, Zoe baharu boleh dicaj daripada kosong hingga 100% dalam masa tiga jam (menggunakan pengecas 22 kW) dan sembilan jam 30 minit (dengan pengecas 7.4 kW)," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, Renault Zoe baharu menerima rekaan dalaman baharu yang merangkumi kluster instrumen bersaiz 10 inci TFT yang boleh diubah suai, di samping sistem multimedia EASY LINK Renault bersama enam unit pembesar suara. 

 

Mereka yang ingin melihat Zoe baharu secara lebih dekat boleh mengunjungi bilik pameran utama Renault di Jalan Kemajuan Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor. - DagangNews.com