RHB kekal panggilan 'Underweight' sektor perladangan, unjur asas bekalan bertambah baik tahun ini | DagangNews Skip to main content

RHB kekal panggilan 'Underweight' sektor perladangan, unjur asas bekalan bertambah baik tahun ini

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan - RHB Research mengekalkan panggilan 'Underweight' bagi sektor perladangan susulan jangkaan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bahawa permintaan India untuk minyak sawit menjadi sederhana pada 2022 memandangkan harga semasa melonjak naik, pengeluaran domestik yang lebih tinggi dan duti import semasa yang memihak kepada kacang soya. 

 

Menurut RHB, MPOC meramalkan import minyak sawit India menjadi 5% lebih rendah pada 2022 kepada 8.2 juta tan. 

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu terus menjangkakan asas bekalan tahun ini bertambah baik, dengan penyederhanaan harga bagi minyak sawit mentah (MSM) pada 2H22, manakala penilaian akan kekal lembap oleh risiko ESG.

 

Selepas pertemuannya dengan Pengarah Wilayah MPOC Bhavan Shah, RHB melaporkan bahawa permintaan India untuk minyak sawit belum mencapai tahap pra-pandemik dengan import tahunan sehingga November 2021 sebanyak 13% di bawah tempoh yang sama pada 2019. 

 

"Covid-19 terus menjejaskan permintaan dalam sektor hotel, restoran dan kafe (Horeca) memandangkan India kini sedang mengalami lonjakan kes akibat Omicron. 

 

"Walaupun India tidak berada dalam mod penutupan penuh, terdapat sekatan yang dikenakan di negeri-negeri tertentu dalam keadaan zon merah termasuk larangan makan di restoran, 50% kapasiti tenaga kerja kapasiti, dan penutupan sekolah dan gim, antara lain," kata RHB. 

 

Sementara itu, kerajaan India telah mengurangkan duti import, mengenakan had pegangan saham dan menggantung perdagangan masa hadapan dan kontrak opsyen ke atas minyak makan, biji minyak dan produk pertanian dalam usaha mengurangkan tekanan inflasi.

 

Sebelum ini Sime Darby berkata,  situasi kekurangan tenaga buruh berkemungkinan akan menjadi lebih teruk bagi syarikat perladangan pada suku pertama tahun 2022 sebelum keadaan bertambah baik.

 

Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, industri itu kekurangan 70,000 pekerja kerana pintu sempadan ditutup untuk mencegah penularan COVID-19 dan sehingga kekosongan jawatan tersebut diisi, keadaan akan menjadi buruk.

 

“Kekurangan tenaga buruh telah mengakibatkan kehilangan hasil cukai kepada kerajaan dan kita harus mencari peluang lain dan tidak bergantung kepada pekerja asing,” katanya pada Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).  -DagangNews.com