Ringgit terus mengukuh menjelang mesyuarat FOMC | DagangNews Skip to main content

Ringgit terus mengukuh menjelang mesyuarat FOMC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Ringgit meneruskan momentum, dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan pagi ini.

 

Mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.0470/0520, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.0530/0560. 

 

Menurut HLIB Research, ringgit dijangka kekal kukuh di sebalik kelemahan dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC). 

 

"Kami mengekalkan pandangan neutral kepada kukuh bagi ringgit. Mata wang ini berbanding dolar AS dijangka diniagakan antara RM4.03 hingga RM4.08 minggu ini, dengan ruang untuk berlaku penurunan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Mesyuarat FOMC selama dua hari itu dijadualkan berakhir 16 Disember.

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan hari ini ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0397 dan RM4.0446 manakala paras rintangan antara RM4.0579 dan RM4.0636. 

 

"Semalam, ringgit mengukuh 0.09% berbanding kelemahan dolar AS selepas bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat. 

 

"Indeks FBM KLCI pula menyaksikan pembelian saat-saat akhir, melonjakkan pasaran untuk ditutup tinggi pada 1,674 setelah menokok 0.68%," katanya. 

 

Menurut firma itu, dolar AS berlegar-legar dalam paras 2 tahun terendah, susut 0.26% kepada 90.473. 

 

Kelemahan dolar AS didorong oleh perkembangan mengenai perbelanjaan kerajaan AS bagi pakej bantuan COVID-19 manakala pelabur pula ternanti-nanti keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan AS sama ada akan membuat pengurangan kadar faedah ataupun tidak. 

 

Bagi pasaran minyak pula, katanya, harga Brent naik 0.93% kepada AS$50.76 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 1.34% kepada AS$47.62, masih lagi berlegar-legar pada paras 9 bulan terendah. 

 

"Ini memandangkan pasaran masih lagi optimis terhadap pelancaran vaksin COVID-19, mengimbangi pemulihan ekonomi yang perlahan apabila perintah sekatan lebih ketat dikenakan di Eropah," katanya. 

 

AS telah memulakan vaksinasi pada Isnin manakala Britain dan Kanada pula turut memulakan suntikan vaksin ini. - DagangNews.com