Skip to main content

Roller coaster harga minyak sawit: pelabur saham tak salah!

               MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

KAWAN-KAWAN yang aktif dalam permainan saham bercerita bagaimana mereka bagaikan menaiki roller coaster – begitu pantas, darah menyirap sampai ke kepala terutama ketika menjunam, tarik nafas sekejap bila menaik sebelum hampir kejang otot pipi bila tiba di selekoh pada kelajuan tinggi.

 

Cerita mereka sebenarnya, adalah cliche iaitu frasa atau pendapat yang digunakan terlalu kerap, berlebihan dan tidak original.

 

Walaupun kerap dijadikan contoh, kemungkinan kawan-kawan tersebut ada atau pernah menaiki roller coaster pun sangat tipis. Bawa kereta pun sopan santun. Ada pula nak sembang gebang guna roller coaster?

 

Tetapi bila dikaitkan dengan permainan saham, mungkin roller coaster adalah analogi paling tepat. Bermula dengan saham sarung tangan getah dan kemudian perladangan, turun naiknya memang mencemaskan – terutama bagi yang meletakkan duit yang besar!

 

Yang mengharu-birukan ialah kalangan pelabur runcit yang melabur duit mereka tetapi `main letak sahaja’ tanpa membuat penelitian, apalagi kajian harian.

 

Bila kaunter menjunam, pelaburan menjadi rugi atau untuk elak rugi, terjurumus ke dalam klasifikasi `pelabur jangka panjang’. Nak keluarkan duit, kena bayar lebih. Jadi kena tunggu lagi sehingga ke paras yang tak rugi teruk.

 

sawit

 

Harga minyak sawit mentah (crude palm oil atau CPO) telah jatuh kira-kira 50% daripada harga tertinggi iaitu kira-kira RM8,000/ tan metrik pada awal Mac kepada kira-kira RM4,000/ tan metrik pada tarikh semasa (seperti dalam kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah Bursa Malaysia untuk bulan September 2022) yang disebabkan oleh pelbagai faktor iaitu:

• Peningkatan eksport minyak sawit dari Indonesia (berikutan langkah ‘flush out’ oleh Jakarta untuk menstabilkan semula inventori minyak sawit yang terkumpul sejak Mac 2022)

• Bekalan minyak sayuran utama yang bertambah baik

• Peningkatan stok di Malaysia yang disebabkan oleh peningkatan pengeluaran dan eksport yang lebih rendah

• Kurangnya kebimbangan terhadap kekurangan tenaga buruh di Malaysia

• Peningkatan trend bermusim dalam kitaran pengeluaran minyak sawit; dan

• Kenaikan kadar faedah yang agresif baru-baru ini oleh Fed AS yang melemahkan sentimen pasaran secara keseluruhan

 

Pemulihan harga ini walaupun bersifat sementara, berpunca daripada kebimbangan geopolitik yang berkait rapat dengan gangguan bekalan minyak makan global, yang tercetus akibat konflik Rusia-Ukraine.

 

Satu lagi peristiwa luar negara yang mencetuskan pemulihan harga minyak sawit mentah ialah pengenaan larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia selaku pengeluar minyak sawit terbesar dunia yang bertujuan mengekang kenaikan harga minyak masak domestiknya pada awal April 2022.

 

Walau bagaimanapun, larangan eksport itu ditarik balik tidak sampai dua bulan kemudian, yang menyaksikan pemulihan harga saham perladangan bertukar kepada kejatuhan mendadak apabila harga minyak sawit mentah mencecah RM5,105/ tan metrik pada Jun lalu dan akhirnya menyusut kepada RM4,157/ tan metrik pada 8 Julai.

 

Kejatuhan mendadak harga minyak sawit mentah selepas 10 Jun ini disebabkan oleh penggantian larangan eksport dengan skim kewajipan pasaran tempatan (Domestic Market Obligation, DMO) oleh kerajaan Indonesia.

 

DMO mewajibkan syarikat perladangan Indonesia untuk membekalkan sebahagian daripada produk mereka ke pasaran domestik melalui program minyak masak pukal kerajaan dan memautkan volum DMO kepada permit eksport dan kuota/hak mereka.

 

indonesia

 

Indonesia kemudiannya memaklumkan sudah mengeluarkan permit eksport untuk sejumlah 2.44 juta tan metrik minyak sawit dari bulan Mei lalu hingga 5 Julai.

 

Memandangkan terdapat lambakan stok, pengeluar sawit Indonesia perlu menarik pembeli dengan menurunkan harga minyak sawit mentah. Ini menyebabkan harga minyak sawit mentah tempatan dan antarabangsa menjunam dengan ketara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

 

Dalam perkembangan yang sama, kebanyakan firma penyelidikan menjangkakan simpanan minyak sawit Malaysia akan meningkat berikutan persaingan daripada minyak sawit Indonesia.

 

Oleh yang demikian, prospek harga minyak sawit mentah di Malaysia akan turut mencerminkan perkembangan di Indonesia.

 

Baru-baru ini, stok simpanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Jun 2022 mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan sebanyak 1.66 juta tan metrik, berikutan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi dan eksport yang lebih rendah manakala sebahagiannya diimbangi oleh penggunaan domestik yang lebih tinggi.

 

Dengan lambakan inventori di Indonesia, penganalisis menjangkakan minyak sawit Malaysia akan kehilangan bahagian pasaran kepada Indonesia dalam beberapa bulan akan datang, mengakibatkan peningkatan secara beransur-ansur dalam inventori MPOB. Oleh yang demikian, harga minyak sawit mentah berkemungkinan akan terus mengalami tekanan pada separuh kedua 2022.

 

sawit
Niaga hadapan minyak sawit Malaysia melanjutkan kenaikan melebihi paras RM4,400/tan pada 12 Ogos 2022, paras yang tidak dilihat dalam tempoh lebih sebulan, disokong oleh tanda-tanda permintaan domestik yang kukuh.

 

Meninjau harga minyak sawit mentah yang semakin menurun, penganalisis mengutarakan pendapat yang bercampur-campur tentang masa depan saham perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Ia boleh diibaratkan seperti langit yang cerah tiba-tiba bertukar mendung semalaman.

 

“Tidak dinafikan bahawa pemegang saham minoriti yang membeli saham kaunter perladangan pada waktu harganya menghampiri tahap kemuncak bakal berhadapan kerugian atas kertas kira-kira 30% atau lebih,” – unjuran oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) .

 

Pada dasarnya, kebimbangan mengenai inflasi dan kemelesetan semakin meningkat dan ia menakutkan seluruh ekosistem pasaran modal, kata CEO MSWG, Devanesan Evanson.

 

merrepak

 

Sejujurnya, kerugian ini tiada kena mengena dengan sifat tamak tetapi lebih kepada cara seseorang pelabur membaca keadaan pasaran untuk sesuatu komoditi.

 

Ia juga bergantung kepada cara seseorang pelabur mengharungi pasaran komoditi yang tidak menentu yang prospeknya berbeza daripada satu komoditi dengan komoditi yang lain.

 

Ini sesungguhnya suatu ‘permainan minda’ yang rumit, hatta bagi pelabur yang paling berpengalaman atau terpelajar sekalipun, tiada jaminan mereka tidak terjejas daripada kenaikan jangka pendek saham perladangan. – DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Hopelessly Devoted To You oleh Olivia Newton-John berulang-ulang kali.