Skip to main content

Rugi sangatkah kalau UMNO terima pelawaan Bersatu?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SARANAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ditubuhkan Majlis Presiden parti-parti yang bertaut di dalam Perikatan Nasional (PN) atau `mesra PN’, menjadi perhatian ahli-ahli parti masing-masing.

 

Hasrat tersebut yang disuarakan oleh Muhyiddin dalam ucapan dasar sempena mesyuarat agung tahunan parti pada 28 November, memperlihatkan juga betapa Bersatu sudah yakin dengan komitmen Pas dan Gabungan Parti Sabah sebagai rakan komponen PN.

 

Beliau juga memberi fokus khusus mengenai hubungan Bersatu dengan UMNO di dalam ucapan tersebut, yang diakuinya berpunca daripada hakikat bahawa ahli-ahli Bersatu termasuk diri beliau sendiri, dahulunya ahli UMNO juga.

 

Muhyiddin mengakui telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

 

aaa

 

``Sebaiknya-baiknya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti-parti dalam kerajaan PN dalam menentang parti lawan.

 

``Ketiga-tiga parti (Bersatu, UMNO dan Pas), mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain.

 

``Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza,” ujar Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan secara maya, berikutan pandemik COVID-19 sekarang yang tidak mengizinkan perhimpunan ramai diadakan.

 

Mari kita kaji daripada pelbagai sudut saranan Muhyiddin ini:

 

Bersatu dalam erti kata sebenar

Berdasarkan pernyataan Muhyiddin tersebut, bolehlah dirumuskan sekarang keputusan di tangan UNMO atau menurut bahasa penjajah `the ball is in your court’.

 

Kebaikan daripada ajakan ini ialah ia akan menjadi sejarah sebagai buat pertama kali semua parti besar Melayu bersatu dan berganding bahu sekali gus mencapai matlamat yang diharapkan selama ini iaitu perpaduan ummah.

 

Pengalaman di bawah pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, harus menjadi ingatan kepada orang Melayu betapa nasib mereka terumbang-ambing dan diabaikan di bawah slogan meriktokrasi dan kesamarataan.

 

Kedua-dua slogan itu ada disokong oleh sebilangan orang Melayu sendiri, yang kini kita dapat lihat hanya mewakili kelompok elit bandar yang tipis empati mereka kepada nasib orang Melayu yang jauh lebih ramai di luar bandar, kampung dan desa.

 

Rumusan kepada perpecahan kerajaan PH ialah bila mana pemimpin Melayu menerima maklum balas negatif daripada majoriti orang Melayu yang walaupun Perdana Menteri merupakan negarawan veteran, tetapi pentadbiran harian kerajaan dikuasai oleh orang lain.

 

Ahli-ahli politik PH boleh saling tuduh-menuduh bahawa mereka saling tikam-menikam, desak mendesak dan maki hamun tetapi faktanya Tun Dr. Mahathir Mohamad pada kaca mata rakyat, telah meletak jawatan secara sukarela pada Februari 2020 sekali gus merobohkan kerajaan PH.

 

Kejadian-kejadian aneh susulan perletakan jawatan seperti menarik balik perletakan jawatan, DAP bertukar-tukar undi sokongan sekejap kepada Tun, sekejap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menjadi dokumen rasmi dalam sejarah politik abad ke-21 Malaysia. Semua sudah tahu keanehan tersebut.

 

aaa

 

Tidak mesra sesama PN

Maka apa yang kita ada hari ini, adalah satu pakatan parti-parti politik yang begitu kecil majoritinya. Sudahlah kecil, sesama parti yang membentuk kerajaan juga tidak mesra.

 

Dalam konteks ini, kebersatuan parti-parti besar mewakili orang Melayu, kalaupun tidak dapat bernaung di bawah satu parti – tidak mengapalah, asalkan parti-parti besar itu satu suara, satu undi maka terjaminlah pilihan raya kelak.

 

Masalahnya, UMNO sebagai parti dominan sekian lama, amat sulit hendak mengiktiraf Bersatu baik daripada segi kepimpinan kerajaan hari ini, apatah lagi dari segi keberadaannya.

 

Bagi kebanyakan ahli UMNO, langkah terbaik ialah Bersatu dibubar dan diserap kembali kepada UMNO. Malah, terdapat pelawaan rasmi agar Muhyiddin berbuat demikian, dan dijanjikan kerusi presiden UMNO.

 

Pelawaan itu seperti kita tahu sekarang, telah ditolak kerana ia lebih berupa `pelawaan yang tertakluk kepada syarat dan terma’ dan difahamkan, amat sulit untuk direalisasikan oleh Muhyiddin.

 

Ini realiti politik. Penawaran jarang diberi percuma. Kebolehan berunding, tawar menawar dan menolak, merupakan aset mahal bagi seseorang ahli politik hari ini.

 

Nisbah keseluruhan kerusi yang dimenangi UMNO juga menyakinkan sesetengah ahli parti itu bahawa parti itu akan dengan mudah menundukkan Bersatu, seandainya ditakdirkan bertembung di dalam pilihan raya.

 

Cakap-cakap beginilah yang menjadikan suasana menjadi tegang, tidak mesra dan sentiasa syak wasangka. Kalau berkongsi kuasa, hati kena baik, bahasa kena jaga.

 

Jangan cepat rasa sudah kuat

Apa yang kita bimbangkan, dengan beberapa kemenangan di dalam pilihan raya kecil dan kemudian robohnya kerajaan PH, UMNO merasakan parti itu sudah kembali sihat dan kuat.

 

Hakikatnya jauh kapal dari dermaga. Populariti parti mungkin sudah kembali berbanding semasa tumbang pada PRU ke-14 pada 2018. Tetapi belum 100%. Ingat apa terjadi pada 2018? Sudahlah tewas, pemimpin kanan diseret ke mahkamah, ahli-ahlinya pula menjadi segan silu untuk muncul mempertahankan parti. Janganlah dilupa detik-detik murung itu.

 

Ini kerana jika ahli UMNO sentiasa menjadikan detik kekalahan itu sebagai pedoman dan pengajaran abadi di hati dan minda, mereka akan sedar bahawa bersikap terlalu yakin dan cakap besar, tidak akan menguntungkan parti, malah berisiko mengembalikan rasa meluat para pengundi.

 

Dalam konteks ini, seandainya UMNO sudi menurunkan ego, sudi berpijak di bumi nyata bahawa UMNO belum kuat sekuat-kuatnya seperti dahulu, pelawaan Bersatu yang disokong Pas agar semua parti besar Melayu `bertaut teguh’, haruslah disambut oleh UMNO dengan keikhlasan dan kesedaran.

 

UMNO baharu hendaklah ada ciri-ciri semangat bila mana orang Melayu berhimpun pada 1946 untuk menentang Malayan Union. Tiada siapa darjat lebih tinggi daripada orang di sebelah, sebaliknya niat di hati orang Melayu ketika itu begitu tulus mahu menebus dan mempertahankan hak orang Melayu.

 

Menurunkan ego, bukan rugi sesen pun tetapi menguntungkan bertrilion-trilion gandaannya.

 

icerd
Dianggarkan lebih 1.5 juta orang Melayu hadir membantah cadangan Pakatan Harapan mahu memeterai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember 2018. - Gambar Malaysiakini

 

Bila UMNO sudi menurunkan ego, ini adalah isyarat jelas kepada semua orang Melayu bahawa perpaduan ummah bakal direalisasi dengan sepenuh makna dan diserap ke jiwa nurani, setelah diuji berat semasa bantahan ke atas ICERD tidak lama dulu.

 

The ball is definitely in your court, UMNO. Tolong jangan OUT.      - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Puteri Santubong berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.