Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Jun - Serba Dinamik melonjak tinggi petang ini dan merupakan antara kaunter paling aktif diniagakan berikutan pengumuman pelantikan firma audit Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd., tengah hari tadi.
Firma itu akan bertindak sebagai penilai bebas ke atas ketepatan dan kebenaran perkara-perkara yang dibangkitkan oleh KPMG.
Ketika ditutup, sahamnya menokok 23.14% kepada 74.5 sen menjadikan nilai pasaran modal berjumlah RM2.24 bilion.
Dalam dagangan pagi, saham Serba Dinamik mencecah paras serendah 54 sen. Pada Jumaat lalu, ia mengakhiri dagangan pada 60.5 sen sesaham.
Syarikat perkhidmatan minyak dan gas ini turut mengumumkan pelantikan tiga anggota Lembaga Pengarah baharu, sekali gus mengesahkan laporan DagangNews.com awal pagi ini.
Baca : Ernst & Young dilantik jadi penilai bebas Serba Dinamik, 3 Lembaga Pengarah baru
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli berkata, pergerakan harga saham Serba Dinamik meningkat semula disebabkan oleh 2 faktor utama.
Jelasnya, pertamanya, harga sahamnya kini berada di paras yang dipanggil sebagai 'terlebih jualan' dan ini menyebabkan pelabur mengambil peluang membeli ketika harga sangat rendah dan menjangkakan berlakunya situasi 'pantulan teknikal'.
"Kedua, pelabur menyahut baik berita tentang perlantikan syarikat audit E&Y yang memberi satu petunjuk positif kepada penyelesaian masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh syarikat.
"Bagaimanapun, saham syarikat ini boleh kembali pulih jika isu audit yang timbul buat masa ini dapat diselesaikan dengan baik dan pada kadar segera," katanya kepada portal ini mengulas mengenai prestasi saham Serba Dinamik.
Bahkan beliau turut menganggarkan kerugian syarikat adalah melebihi RM2 bilion buat masa ini, bergantung kepada harga semasa saham Serba Dinamik.
Sementara itu, dalam nota kajian minggu lalu, UOB Kay Hian mengurangkan unjuran pendapatan Serba Dinamik sebanyak 25% dan 19% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023.
Malah, firma itu turut mengulangi saranan 'pegang' ke atas saham Serba Dinamik memandangkan ia mengekalkan pandangan neutral berhubung pertikaian dengan KPMG.
Isu membabitkan pertikaian antara Serba Dinamik dan KPMG sudah berlarutan memasuki minggu ketiga ekoran wujudnya transaksi meragukan berjumlah lebih RM3 bilion.
Disebabkan pertikaian itu, Serba Dinamik yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2017 lesap berbilion ringgit dalam pasaran modal. - DagangNews.com