Stesen penyelidikan MPOB Kluang miliki koleksi germplasma sawit terbesar dunia | DagangNews Skip to main content

Stesen penyelidikan MPOB Kluang miliki koleksi germplasma sawit terbesar dunia

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Stesen Penyelidikan MPOB yang terletak di Kluang, Johor menempatkan koleksi germplasma sawit terbesar di dunia yang terdiri daripada dua spesies iaitu Elaeis guineensis dan Elaeis oleifera. 

 

Stesen yang ditubuhkan pada 1979 itu menjalankan aktiviti penyelidikan berkaitan biak baka, agronomi, integrasi tanaman dan ternakan sawit. 

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, ladang penyelidikan MPOB Kluang pula mempunyai keluasan berjumlah 841 hektar dengan 98% adalah kawasan penyelidikan.

 

"Koleksi Elaeis guineensis meliputi 11 negara di Afrika dan Amerika Selatan bermula tahun 1973 hingga 2010. 

 

"Daripada penilaian semua koleksi tersebut, 14 PS (palm series/siri tanaman) telah dihasilkan dengan memperkenalkan pokok germplasma dengan ciri-ciri unik yang mempunyai potensi untuk diintegrasikan dengan yang termaju seperti renek, tinggi kualiti minyak, tinggi vitamin E dan lain-lain," katanya ketika mengadakan lawatan kerja di stesen berkenaan semalam.

 

Stesen Penyelidikan MPOB Kluang turut menjalankan kajian kitaran biojisim semasa tanam semula sawit, kajian isu pembentukan buah sawit tidak sempurna, kajian teknik inovatif tanam semula sawit dan kajian penggunaan formulasi baja sawit (siri MPOB F1 – F6). 

 

Di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), MPOB telah membangunkan Pusat Perkhidmatan Agronomi Sawit (OPAC) di stesen berkenaan.

 

Ia bertujuan untuk membantu pekebun kecil sawit menghasilkan yang berdaya saing, mampan dan hasil tinggi. 

 

OPAC menawarkan perkhidmatan analisa nutrien dalam makmal, analisa baja selain lawatan dan khidmat nasihat kepada pekebun kecil.

 

Tambah beliau, penyelidikan integrasi tanaman dan ternakan yang dijalankan meliputi tanaman salak madu, lada hitam, ternakan kambing dan kelulut bagi membangunkan sistem integrasi yang menjana pendapatan serta boleh dimanfaatkan oleh pekebun kecil.

 

Dalam pada itu, stesen tersebut juga memiliki Pejabat Pelesenan Cawangan Kluang bagi mengawal selia aktiviti industri di Kluang, Segamat dan Mersing. 

 

Sehingga tahun lalu, Johor mempunyai keluasan tanaman sawit 776,644 hektar.

 

Daripada jumlah tersebut, seluas 561,108.62 hektar diusahakan oleh sektor perladangan yang terdiri dari 597 ladang, manakala seluas 215,535.43 hektar diusahakan oleh 77,858 pekebun kecil yang mewakili 27.8% daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit di Malaysia.

 

"Kluang merekodkan tanaman sawit dengan jumlah keluasan tertinggi iaitu 202,424.86 hektar, manakala Batu Pahat mempunyai jumlah pekebun kecil paling ramai iaitu 21,328 orang. 

 

"Pemegang lesen MPOB di Johor terdiri dari dua kategori iaitu 2,410 pemegang lesen utama membabitkan estet, kilang, peniaga dan pengeksport kelapa sawit dan 77,858 pekebun kecil. 

 

"Terdapat 63 buah kilang memproses kelapa sawit, 17 buah kilang penapis minyak sawit dan 13 buah kilang isirung sawit di negeri ini," tambah beliau lagi. - DagangNews.com